TIADA apa yang diharapkan bagi pelakon Puteri Sarah Liyana selain hanya mahu mengakhiri konflik rumah tangganya dengan pengarah sensasi, Syamsul Yusof pada 7 Mac dengan perpisahan.
Ujar Puteri Sarah, meskipun tarikh sebutan kes di mahkamah jatuh pada tarikh sehari sebelum hari ulang tahun perkahwinannya dengan Syamsul, namun apa yang difikirkannya hanyalah mahu ‘dilepaskan’ secara baik oleh pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.
“Tarikh perkahwinan saya pada 8 Mac tapi sejujurnya saya dah tak rasa apa-apa. Cuma saya harapkan nanti sebutan kes di mahkamah, saya akan ‘dilepaskan’. Jadi saya boleh move on.
“Saya harap pada 7 Mac ini saya akan ‘dilepaskan’ dengan cara baik supaya masing-masing boleh fokus untuk hidup dengan haluan sendiri selain saya pun dan sambung semula kerja lakonan.
“Saya yakin 100 peratus bahawa saya akan ‘dilepaskan’. Saya harap pihak sana tidak melengahkan waktu dan cepat-cepat ‘lepaskan’ saya,” katanya kepada URTV.
Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama Andai Itu Takdirnya di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.
// Istikharah
Sebagai umat yang beragama Islam, pastinya Puteri Sarah turut meminta petunjuk daripada Allah dengan melalukan solat istikharah.
Jelas Puteri Sarah, dia yakin dengan jawapan daripada solat istikharah yang dilakukan ketika menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.
“Saya dah buat istikharah ketika tunaikan umrah. Walaupun petanda itu saya tak nampak tapi kalau terima dalam mimpi, saya bersyukur sangat.
“Cumanya, apa yang saya lihat, Allah bantu saya setiap kali nak buat keputusan, semuanya dipermudahkan.
“Saya sangat yakin, tak ada rasa berdebar atau tak boleh tidur malam,” ujarnya.
Hak penjagaan anak, tak jejas hubungan dengan mentua
Dalam pada itu, Puteri Sarah turut berkongsi mengenai hak penjagaan dua anak mereka yang diuruskan oleh peguam pihaknya dan peguam Syamsul.
Jelas Puteri Sarah, isu hak jagaan anak tidak akan mendatangkan masalah memandangkan suaminya itu tahu dia lebih banyak menjaga anak mereka.
“Peguam saya dan peguam dia akan bincang fasal hak penjaaan anak.
“Rasanya tak ada masalah pun sebab dia tahu saya yang banyak jaga anak-anak.
“Cuma, kalau saya sibuk dengan jadual penggambaran, keluarga mentua dan keluarga saya akan jaga anak-anak,” jelasnya.
Disoal mengenai respon ibu dan bapa mentua mengenai keputusannya yang ingin bercerai dengan Syamsul, jelas Puteri Sarah, dia bersyukur kerana diberi sokongan.
Tegas Puteri Sarah, dia tidak pernah berselindung daripada memberitahu keluarga mentua mengenai keputusan untuk berpisah dengan anak mereka.
“Apa-apa keputusan yang saya nak buat, saya tak pernah berselindung. Saya tak pernah sorok daripada mentua saya.
“Setiap gerak geri saya akan beritahu mereka. Apa saja keputusan, saya dah bincang dengan mak dan bapa mentua saya.
“Bila saya minta dilepaskan pun, mereka juga sudah dimaklumkan. Walaupun agak berat untuk terima, tapi saya dah beritahu mereka, Insya-Allah ia tak akan jejaskan hubungan kami.
“Saya masih datang rumah mereka macam biasa walaupun dah berpisah. Saya akan datang tidur rumah speerti biasa. Tak ada apa yang berubah,” luahnya.
Untuk info, Puteri Sarah memfailak perceraian di Mahkamah Rendah Syariah, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 16 Januari lalu.
Mahkamah menetapkan pada 7 Mac ini sebagai hari sebutan kes.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan pasangan ini dikurniakan dua orang anak iaitu Syaikhul Islam,6 dan Sumayyah yang berusia empat tahun.
Pada awal Januari lalu, Syamsul mengejutkan ramai pihak apabila mengesahkan sudah bernikah dengan Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon veteran Kazar Saisi di Thailand.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

