Konsert Lefthanded 40 Tahun akan diiringi pemuzik orkestra

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

APABILA bercerita mengenai muzik rock tanah air, nama Lefthanded pasti akan disebut. Mereka diletakkan antara ‘ranking’ paling atas dalam senarai kumpulan rock tanah air selain Search, Wings, May, Bloodshed dan banyak lagi.

Sejak dikenali selepas menyertai pertandingan Juara Rock pada 1983, Lefthanded terus mengorak langkah tanpa menoleh ke belakang lagi.

Kini, bersama dua anggota yang cukup sinonim dengan Lefthanded iaitu Man Kidal (gitar) dan Datuk Nash (penyanyi), mereka disertai oleh Hafiz Dayak (dram) yang juga anak bekas pemain dram Lefthanded, Allahyarham Man Dayak, Ritz (gitar), Rio Rasul (keyboard) dan Fly (bass).

Mereka bersama kumpulan orkestra yang bakal diumumkan nanti akan menggegarkan Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 3 Jun depan, pukul 8.30 malam.

Ia dianjurkan oleh Menara Network Sdn. Bhd sempena 40 tahun penubuhan Lefthanded.

Pemilik Menara Network Sendirian Berhad, Datuk Ab Razif Asmuni berkata, idea mengadakan konsert ini tercetus apabila dia berjumpa dengan Man Kidal.

Katanya, kebetulan Man Kidal juga memang merancang untuk mengadakan konsert Lefthanded sempena 40 tahun penubuhan mereka.

“Selepas beberapa perbincangan, akhirnya impian ini menjadi kenyataan.

“Ada banyak kumpulan rock di Malaysia, tetapi mereka adalah ‘top 3’ seiring dengan Search dan Wings. Mereka ada banyak lagu popular dan diingati kebanyakan peminat muzik tanah air.

“Konsert ini diadakan bersama orkestra kerana mahukan muzik yang lebih rileks. Mereka tetap rock, tetapi dengan orkestra, muziknya akan menjadi lebih lunak. Tidaklah terlalu bingit dan sedap didengar.

“Sesuailah dengan kebanyakan peminat Lefthanded yang kini sudah berusia 40 tahun ke atas. Mereka mahu lebih rileks dan berada dalam keadaan duduk jika menonton konsert,” katanya.

Ab Razif berkata, konsert berdurasi di antara dua jam 30 minit ke tiga jam itu juga akan menceritakan mengenai perjalanan muzik Lefthanded selama 40 tahun dari awal hinggalah yang terkini.

Menurut Ab Razif yang juga penerbit konsert, Lefthanded akan membawa 15 ke 20 lagu dan Rio Rasul sebagai Penggubah Muzik.

Tiket-tiket berharga RM158, RM188, RM198, RM238, RM288, RM328, RM488 dan RM588 boleh dibeli di www.ticket2u.com.my.

Lefthanded memiliki enam album studio iaitu Keadilan pada 1986, Seruan (1987), Qabul (1988), Evolusi (1989), Fanatisme (1991) dan Syurga & Neraka (1999).

Sebelum itu, mereka pernah tampil dalam dua album kompilasi iaitu Battle Of The Bands I dan II pada 1985 dan 1986 bersama Bloodshed, Rahim Maarof & Whitesteel, Ella & The Boys dan SYJ.

Selain Man Kidal dan Nash, Lefthanded pernah dianggotai Yan (bass), Allahyarham Samad (gitar), Allahyarham Man Dayak (dram) dan Isa (keyboard).

Selain itu, Datuk Ramli Sarip, Allahyarham Arab, Roy, Rahim Maarof dan Hamid pernah menjadi penyanyi Lefthanded.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kaki drama bersorak! Viu & iQIYI bergabung tenaga, tawar pakej langganan ‘dua dalam satu’

BERITA baik buat penggemar tegar naskhah dari rantau Asia! Dalam satu pengumuman yang menggegarkan industri hiburan digital serantau hari...

More Articles Like This