Kecewa Tyo Nugros disekat terbang ke Malaysia, Al Ghazali ambil alih posisi dram ubati luka peminat Dewa 19, 23 lagu gegar Unifi Arena

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KEBERADAAN pemain dram, Tyo Nugros yang sepatutnya menjadi antara tarikan utama dalam Konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia di Unifi Arena, Bukit Jalil malam tadi menjadi momen paling mengejutkan buat ribuan peminat.

Keberangkatan pemuzik berusia 55 tahun itu ke ibu kota dilaporkan terhalang pada saat-saat akhir susulan isu sekatan perjalanan membabitkan pihak imigresen di negara seberang.

Berita dukacita tersebut diumumkan sendiri oleh Tyo menerusi satu hantaran video khas yang dipaparkan di layar gergasi arena sebelum konsert bermula.

Pengumuman mengejut itu nyata mengundang keluhan kecewa serta sorakan hampa daripada para peminat yang sudah lama mendambakan kemunculannya.

Disekat Di Lapangan Terbang Jakarta

Menurut Tyo, dia hanya menyedari mengenai perintah sekatan tersebut ketika sedang melalui proses pelepasan standard di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

“Sebaik sahaja selesai melalui pemeriksaan imigresen, saya dimaklumkan bahawa saya tidak dibenarkan untuk meneruskan penerbangan ke Malaysia.

“Ini berikutan perintah sekatan perjalanan yang dikeluarkan oleh pihak Pejabat Perkhidmatan Kekayaan Negara dan Lelong (KPKNL) Jakarta 1,” katanya.

Tambah Tyo lagi, sehingga kini dia bersama ahli keluarganya masih aktif meneliti dan mencari punca sebenar di sebalik tindakan sekatan mengejut yang dikenakan ke atas dirinya itu.

Dalam pada itu, Tyo turut mengambil kesempatan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh komuniti Baladewa dan Baladewi di Malaysia, selain menzahirkan penghargaan buat pihak penganjur, Icon Entertainment, serta barisan penaja yang bertungkus-lumus menjayakan acara.

Aksi Al Ghazali Tebas Kekecewaan Peminat

Pun begitu, atmosfera suram di Unifi Arena tidak bertahan lama apabila kekosongan posisi dram tersebut diisi secara magis oleh Al Ghazali, yang juga anak sulung kepada pengasas dan maestro Dewa 19, Ahmad Dhani.

Kehadiran Al Ghazali di atas pentas memegang nuansa dram nyata menjadi ‘penyelamat’ keadaan.

Langkah drastik itu bukan sahaja berjaya mengubat hati peminat yang lara, malah terus membakar semula dinamika konsert berskala besar tersebut.

Selain Tyo dan Ahmad Dhani, Dewa 19 turut dianggotai oleh Andra Ramadhan (gitaris), Yuke Sampurna (bassist) dan Agung Yudha (dram).

Malah, kehadiran tiga kombinasi vokalis mantap daripada Ari Lasso, Marcello Tahitoe dan Virzha bagaikan tidak terasa tiga jam persembahan berlangsung.

Sebanyak 23 buah untaian lagu dipersembahkan khusus buat peminat yang hadir. Antara seleksi lagunya ialah Pangeran Cinta, Larut, Arjuna, Dewi, Aku Milikmu, Kirana, Satu, Tak Akan Ada Cinta Yang Lain, Bohemian Rhapsody, Pupus, Sedang Ingin Bercinta, Roman Picisan dan Madu 3.

Meskipun bermula dengan fasa yang agak mendebarkan, konsert tetap melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang, sekali gus membuktikan status Dewa 19 sebagai gergasi muzik rock Indonesia yang sukar digugat.

Pada awal pembukaan konsert, penonton dihidangkan dengan persembahan daripada Kumpulan Padi Reborn yang cukup menghiburkan.

Padi Reborn yang dibarisi oleh Andi, Piyu, Rindra, Ari dan Yoyo itu menyerlah dengan lapan buah lagu hits mereka.

Lebih Istimewa, ia adalah penampilan sulung Padi Reborn bersama Dewa 19 di pentas Malaysia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hawa Rizwana dipilih kerana kredibiliti, bukan populariti

DI SEBALIK lambakan pempengaruh digital dan selebriti media sosial yang bersandarkan populariti semata-mata, pengacara serta personaliti televisyen terkenal, Hawa...

More Articles Like This