SEJAK zaman dahulu, terdapat pelbagai kepercayaan di serata dunia berkaitan hantu. Antaranya, masyarakat zaman tamadun kuno Mesopotamia amat percaya dengan kewujudan dunia bawah tanah. Mereka percaya di dunia tersembunyi jauh di bawah tanah itu adalah tempat tinggal hantu atau roh mereka yang sudah mati.
Apabila seseorang itu mati, mereka percaya orang yang sudah mati itu akan bertukar menjadi ‘gidim’ (perkataan Sumeria) ataupun ‘etemmu’ (perkataan Akkadia). Dalam bahasa mudah – hantu yang hidup di bawah tanah.
Dunia bawah tanah (underworld) tempat tinggal orang yang sudah mati ini pula dikenali sebagai Irkalla (atau beberapa nama lain seperti Kur, Arali, Kigal). Dunia ini digambarkan amat gelap dan suram. Roh-roh orang yang sudah mati ini akan bergentayangan bagai bayang-bayang di dunia ini.
Dikatakan makanan roh-roh di dunia bawah ini adalah lumpur dan selut. Sebab itu ahli keluarga yang masih hidup akan memberi mereka makan melalui ritual-ritual tertentu supaya roh ahli keluarga yang sudah mati tidak kelaparan di dunia tersebut.

Mengikut kepercayaan kuno ini, ‘gidim’ atau ‘etemmu’ tinggal di dunia yang dijaga oleh si hodoh pucat dan peminum darah bernama Akhkharu. Masyarakat kuno tamadun ini percaya bahawa roh si mati dibenarkan untuk datang ke dunia nyata bagi menyelesaikan masalah yang timbul.
Kononnya jika roh ini keluar ke dunia nyata, mereka akan menjadi manusia yang bersayap dan dipenuhi bulu seperti burung. Setelah masalah itu selesai, roh itu akan kembali semula ke dunia bawah tanah.
Disebut juga, bukan semua roh itu datang semula ke dunia manusia untuk membantu. Banyak juga yang datang untuk mengganggu ketenteraman manusia bagi membalas dendam. Ia dikaitkan semasa hayatnya, roh itu mungkin dilayan buruk atau dianiaya oleh keluarga mahupun rakan-rakan.
Selain itu, masyarakat kuno ini juga akan memakai perhiasan di telinga mereka. Ini kerana roh jahat boleh merasuk ke dalam tubuh manusia melalui telinga. Dengan memakai hiasan telinga, dikatakan ia menghalang roh itu masuk.
Jika berlaku roh yang datang dari dunia bawah tanah itu enggan pulang dan terus mengganggu manusia, masyarakat di situ akan meminta pertolongan bomoh yang akan melakukan ritual tertentu. Sebelum itu, bomoh tersebut akan bertanya terlebih dahulu kepada semua orang apakah ada sesiapa yang pernah berbuat salah dengan roh itu semasa hayatnya dahulu.
Ritual yang dilakukan bomoh termasuk bacaan mantera dan penyembahan Dewa Shamash, iaitu dewa matahari bagi masyarakat Mesopotamia ketika itu. Dewa Shamash yang merupakan dewa keadilan, dikatakan akan memberi keadilan kepada si mati setelah ia kembali ke dunia bawah tanah.


______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

