SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) kali ke-69 yang dipengerusikan baginda pada hari ini akan menjadi titik tolak dalam usaha mengembalikan peranan mentadbir agama Islam kepada pihak yang berhak.
Sultan Selangor, yang julung kali mempengerusikan mesyuarat majlis itu sejak dipilih sebagai Pengerusi MKI tahun lepas, berharap agar semua pihak menghormati peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu.
“Beta yakin dengan bermulanya lembaran baharu ini, Majlis Raja-Raja sebagai suara Raja-Raja Pemerintah di Malaysia dapat memainkan peranan sewajarnya untuk memajukan pentadbiran Islam di peringkat Persekutuan dan membolehkan hubungan yang lebih akrab dengan negeri-negeri, selari dengan lunas-lunas perlembagaan,” titah baginda di Istana Melawati, Putrajaya.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Timbalan Pengerusi MKI dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sultan Sharafuddin juga berharap para wakil rakyat dan menteri akan menumpukan usaha menyelesaikan pelbagai kemelut yang sedang dihadapi oleh rakyat, serta mengembalikan kemakmuran dan kegemilangan negara, sebagaimana yang telah diamanahkan.
“Baru-baru ini beta telah membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan konsep negara sekular,” titah baginda.
Baca artikel berkaitan: Tanah runtuh Batang Kali: Sultan Selangor terkejut, dukacita, utus ucapan takziah
Titah baginda, jaminan yang diberikan Perdana Menteri itu adalah bertepatan dan kena pada waktunya bagi memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius dalam memelihara prinsip Islam yang berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Baginda juga menyeru agar semua pihak memberikan sokongan padu kepada usaha mendaulatkan Islam dan memperkasakan MKI serta meletakkan pentadbiran institusi agama Islam di peringkat Persekutuan pada landasan yang sepatutnya.
“Wakil-wakil di negeri masing-masing juga hendaklah mengusulkan apa-apa cadangan yang telah dilaksanakan di peringkat negeri yang sesuai dikongsikan untuk kepentingan bersama bagi negara kita dan umat Islam.
“Beta mengharapkan dengan bermulanya lembaran baharu MKI ini, kita semua mampu berjalan seiring dengan semangat dan mentaliti yang baharu, membawa perubahan yang baik dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia,” titah Sultan Sharafuddin.
Ketika Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-258 tahun lepas, Sultan Sharafuddin dipilih sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun.
Sebelum ini, jawatan itu disandang perdana menteri bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

