Mengambil pendekatan berbeza, koleksi Tudung Fazura diiringi kempen video berjudul Adinda dan Kakak Kita bagi memperkenalkan rekaan terbaharu sempena sambutan Hari Raya 2023 bersama Besties Fazura.
Keunikan ini adalah sinonim dengan Tudung FAZURA dan apa yang menarik, setiap koleksi mempunyai nama khas sesuai dengan corak dan rekaan yang ditawarkan kepada para peminat.
“Merdeka”, “Sinar”, “Kenangan Kita”, “Kakak Kita” dan “Kakak Kita Kembali” adalah antara video kempen koleksi Tudung Fazura yang telah mendapat sambutan popular dan masih boleh ditonton sehingga ke hari ini.

Malah, sempena membuka lembaran baharu tahun ini dan sempena perasmian butik terbaharu, Nur Fazura dan Fattah Amin telah mengambil kesempatan untuk mengumumkan penubuhan FAZURA Pictures Sdn. Bhd.
“Alhamdullillah, Faz dan Fattah bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat mengorak langkah baharu bermula tahun ini melalui penubuhan syarikat produksi kami sendiri. Kami ingin menjadikan syarikat ini sebagai pelantar untuk kami meneruskan minat dalam berkarya dan memberikan hasil yang baik untuk dikongsikan bersama para peminat. Karya-karya FAZURA Pictures Sdn. Bhd. akan membawa hasil “signature” kami berdua sebagai anak seni”, ulasnya.
Lantaran itu, tayangan perdana dua karya sulung FAZURA Pictures iaitu “Adinda” dan “Kakak Kita ke Jakarta” telah diadakan di TGV Cinema Sunway Putra Mall sempena kempen Hari Raya 2023. Tayangan tersebut turut diserikan dengan pelancaran kejutan koleksi Rampaian Pahang iaitu Baju Kurung Pahang.

Terdahulu, Fazura dan Fattah Amin telah merasmikan butik terbaharu FAZURA di Sunway Putra Mall dan ini adalah butik kedua FAZURA selepas yang pertama telah dibuka di The Curve Damansara pada tahun lepas.
Butik di gedung membeli-belah terkemuka Sunway Putra Mall adalah yang pertama pada tahun 2023 dan ianya akan disusuli dengan pembukaan dua lagi butik FAZURA masing-masing di Ipoh Parade, Ipoh, Perak dan di Aman Central, Alor Setar, Kedah. Setiap butik FAZURA menawarkan rangkaian pelbagai produk dibawah jenama FAZURA terutama Tudung FAZURA yang popular. Para peminat akan terus dapat membeli Tudung Fazura (White Label) secara eksklusif dari Besties FAZURA.

