Bulimia Nervosa

Satu lagi masalah gangguan pemakanan dimana individu makan berlebihan secara rahsia. Dan perbuatan ini disusuli dengan kaedah-kaedah mengawal berat badan tidak sihat seperti memuntahkan makanan, mengambil laksatif dan bersenam berlebihan.

Amnya, individu bulimia berasa tidak puas hati dengan tubuh mereka. Mungkin mereka sebenarnya kurang berat badan tetapi cerminan diri menunjukkan imej sebaliknya. Bermula dengan diet, kemudian ia berubah menjadi satu ketaksuban untuk kurus.

Seperti anoreksia, bulimia juga merupakan gangguan psikologi kerana individu tersebut mengawal diet secara keterlaluan. Amalan makan dan muntah menjadi suatu ketagihan sehingga menjejaskan kesihatan.

Tidak seperti anoreksik, individu bulimia tidak mengalami berat badan yoyo yang ketara. Maka proses pemulihan lebih baik sekalipun terdapat kecendorongan untuk kembali pada diet tidak sihat.

Sebenarnya individu bulimia berasa malu dengan sikap berahsia terhadap nafsu kuat makan (binge eating) yang bukan disebabkan oleh terlalu lapar. Biasanya mereka makan banyak kerana berasa tertekan, murung atau lain-lain perasaan berkaitan berat atau bentuk badan mahupun makanan. Mereka berasa tenang seketika sebelum perasaan bersalah ‘makan banyak’ mula menyerang mereka. Selain kaedah muntah paksaan, ada yang berpuasa dan bersenam berlebihan bagi mengawal berat badan.

Rawatan untuk bulimia melibatkan physician, psikiatrist atau psikologis klinikal kerana ia bersifat komplikasi perubatan dan psikologi. Objektif utama rawatan ialah untuk menstabilkan keadaan fizikal pesakit sekiranya ia kritikal sambil memulih kesihatan menerusi amalan pemakanan sihat.

Kaedah rawatan tertentu pula dilakukan bagi mengatasi masalah kecelaruan persepsi diri dan dinamik kekeluargaan. Didikan nutrisi dan pengurusan sikap pula membantu pesakit mengurus berat badan dengan pilihan-pilihan baik.