Setelah sekian lama, menyimpan hasrat untuk menceburi bidang perniagaan, baru kini ia menjadi kenyataan. Bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, namun pemilik nama Nurshiha Mohd Zikir atau lebih dikenali sebagai Shiha Zikir, punyai pandangan yang berbeza. Baginya setiap apa jua bidang yang diceburi pasti ada risiko, tetapi jika bersungguh pasti ada kejayaan di situ.

Tegas penyanyi dan pelakon yang sangat komited dalam setiap kerjaya yang diceburi ini berkata, inspirasi untuk menceburi dunia perniagaan ini berputik, apabila sering membantu ibunya berniaga makanan di Pulau Pinang suatu ketika dahulu. Melihat kesungguhan ibunya, serta berbekalkan sedikit pengalaman Shiha yakin keputusannya untuk menceburi diri dalam bidang makanan dan minuman ini adalah jalan yang tepat.

“Saya mempunyai 5 orang rakan kongsi, yang merealisasikan impian Shiha ini. Kenapa nasi ayam, sebabnya Shiha memang favourite nasi ayam Hainan. Dalam seminggu lebih 4 kali Shiha akan menikmati keenakan nasi ayam. Sebab itu, Shiha yakin dengan perniagaan nasi ayam ini,” ujarnya ringkas.

Shiha Zikir Nasi Ayam mula beroperasi pada 16 Mac lalu, terletak di G-08 & G-09 Wisma Infinitum, Jalan Dewan Sultan Sulaiman di Kampung Baru. Dibuka setiap hari Isnin hingga Ahad, dari jam 10.00 pagi hingga 9,00 malam.

Istimewanya di Shiha Zikir Nasi Ayam ini terdapat tiga pilihan menu nasi ayam, iaitu nasi ayam barbeku, nasi ayam roasted dan nasi ayam stim. Selain itu, turut disajikan dengan pelbagai pilihan makanan lain yang pastinya cukup enak menepati cita rasa pelanggan.

Perniagaan Shiha Zikir Nasi Ayam ini merupakan platform untuk dirinya dekat kepada masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan, di atas keprihatinannya itu, Shiha turut menerima sumbangan dari Dato Mohd Aizuddin Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) sebanyak RM 10,000 sebagai sokongan usaha Shiha Zikir Nasi Ayam untuk aktiviti bantuan makanan di dalam bulan Ramadan ini.

SAJI berkesempatan bersama memeriahkan majlis pelancaran Shiha Zikir Nasi Ayam baru-baru ini. Tahniah! Shiha di atas kejayaan mengapai impian dan semoga dimurahkan rezeki serta sukses dalam perniagaan selepas ini.