Mungkin ada yang mengambil mudah tentang bersahur, lagi-lagi jika mereka ingin mengqada’ puasa. Bagi mereka, tidak bersahur tidak mengapa kerana bukan di dalam bulan Ramadan. Namun tidak kiralah puasa ganti, puasa sunat, puasa wajib dan apa sahaja puasa, sunah nabi adalah bersahur.
Dari Anas r.a, Rasulullah pernah bersabda,
“Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat” (HR Muslim, Ahmad Tirmidzi, Nasa’i dan Ibn Majah).
Berkat ini kadangkala kita terlepas pandang. Apa yang boleh kita kaitkan di dalam berkat bersahur ini? Sudah tentunya perkara utama kita mendapat berkat adalah mengikut sunnah nabi s.a.w.
Keduanya kita mendapat berkat fizikal yang mana orang yang bersahur mereka lebih bertenaga, ada sedikit kekuatan untuk meneruskan ibadat. Malah dalam aspek lain tanpa kita sedari, dengan bersahur ia sebenarnya membezakan puasa orang Islam dengan orang Yahudi.
Jadi bersahurlah walau sedikit. Sahur merupakan satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah ke atas umat Islam. Berkat bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi s.a.w.
“Bersahurlah, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban).
Tidak dapat dinafikan, biasa kita mendengar keluhan yang mengatakan mereka tidak mampu bersahur, bangun pada awal pagi dan menjamah makanan. Sedangkan selera pada waktu itu masih lagi tertutup.
Tidak mengapa, makanlah apa yang boleh kita makan. Minumlah sedikit walau hanya seteguk air. Walaupun bersahur bukanlah perkara yang diwajibkan, tetapi ia merupakan sunah nabi yang pastinya ada berkat dan ganjaran seandainya kita dapat melakukannya.
Bersahur itu sendiri sudah memberikan kita ganjaran bukan sahaja dari sudut fizikal, malah spiritual juga. Bukan itu sahaja, kita juga dapat melakukan solat tahajud yang memberikan kita pelbagai keberkatan.
Apalagi jika disertakan dengan amalan membaca al-Quran juga secara tidak langsung dapat menambahkan ganjaran di dalam ibadah kita sepanjang Ramadan. Malah dalam surah Ali ‘Imran ayat 15 hingga 17 Allah berfirman tentang ganjaran bagi orang bangun sahur sambil mohon keampunan akan beroleh ganjaran syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan mereka kekal di dalamnya.
“… dan yang memohon ampun di waktu sahur”
Oleh itu sesiapa yang meninggalkan amalan ini tanpa sebab yang syarie atau pun dengan sengaja, maka mereka sebenarnya adalah orang yang sangat rugi.
Ironinya bukanlah susah pun, sebelum tidur niatkan untuk bangun sahur kerana Allah, kunci jam beberapa minit sebelum subuh, kemudian bangun dan minumlah walau seteguk air. Kemudian berdoalah kepada Allah, walau sekecil doa. Mana tahu asbab waktu yang berkat inilah doa yang dipinta akan termakbul.
Namun harus diingatkan bahawa niat kita juga penting. Jangan pula kita tersasar daripada tujuan utama kita melakukan ibadat kerana ada segelintir yang berpuasa atau qada’ puasa bertujuan untuk berdiet atau menguruskan badan. Dalam hal ini kita harus betulkan niat yang mana kita mempunyai dua jenis niat, niat dunia dan niat akhirat.
Terdapat hadis daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar Ibn al-Khattab r.a berkata,
“Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan.”
Sebagai contoh, kita mengambil wuduk, pastikan tujuan dan niat kita betul sama ada hendak menyejukkan wajah atau kerana kita ingin mengambil berkat wuduk itu sendiri, yakni berada di dalam keadaan yang suci.
Di sinilah ada ulama yang mengatakan, setiap tindakan kita haruslah utamakan kerana Allah Taala. Jangan kita berniat berpuasa untuk diet kerana ia sesuatu yang merugikan. Begitu juga niatkan bangun sahur kita semata-mata kerana Allah Taala dan mengikut sunnah Baginda s.a.w., Insya Allah pastinya dengan keberkatan itulah yang akan menjadi kekuatan bagi kita untuk bertahan sepanjang hari dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T.
Jadi apa lagi, ayuh tetapkan dalam diri bahawa kita akan bangun sahur setiap hari di bulan Ramadan untuk mendapatkan keberkatan dan mahgfirah dari Allah. Wallahu a’lam
________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’