KEMENTERIAN Pengangkutan menerusi Jabatan Laut Malaysia (JLM) akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kehilangan kapal kargo Malaysia MV Dai Cat 06.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, JLM telah mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk mengadakan perbincangan susulan dengan pemilik kapal MV Dai Cat 06 pada 17 Januari lalu.
Jelas beliau, pemilik kapal telah diminta membuat satu lagi laporan polis di Balai Polis Pelabuhan Klang untuk memaklumkan kejadian kehilangan kapal tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi yang berkaitan.
“Dalam hal ini, Borang Kemalangan KEM 1 telah diterima JLM pada 19 Januari 2023 daripada wakil syarikat Dai Cat Sdn. Bhd.
“Seterusnya pada 20 Januari 2023, JLM telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan dengan skop dan penumpuan siasatan menjurus kepada perkara seperti keselamatan pelayaran dan keselamatan kapal; pengumpulan fakta, mengemukakan penemuan dan cadangan tindakan seperti tindakan kompaun dan lain-lain yang bersesuaian; dan mengemukakan laporan dalam masa 30 hari daripada tarikh penubuhan Jawatankuasa Siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan soalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau berhubung isu kehilangan kapal kargo tersebut di Dewan Rakyat hari ini.
Baca lagi: Permohonan projek Kedah Aerotropolis sudah dibuat, kata Sanusi kepada Anthony Loke
Mengulas lanjut, Siew Fook berkata, JLM telah menerima maklumat mengenai kejadian kehilangan kapal MV Dai Cat 06 daripada wakil syarikat perkapalan yang dilantik iaitu Syarikat MK & K Resources Sdn. Bhd. pada 10 Januari 2023.
Jelas beliau, ia merupakan susulan daripada laporan polis yang dibuat pada 9 Januari 2023 di Balai Polis Seri Manjung, Perak oleh wakil syarikat perkapalan berkenaan.
Menurut Siew Fook, berdasarkan semakan yang dibuat, kapal berkenaan telah tiba di Lumut pada 19 Disember 2022 jam 12.30 tengahari dan memulakan operasi memunggah masuk kargo bermula jam 3.43 petang pada hari yang sama.
Katanya, dilaporkan bahawa kapal tersebut turut melaksanakan kerja- kerja penyelenggaraan kepada peralatan navigasi dan komunikasi seperti RADAR, Global Positioning System (GPS) dan saluran Very High Frequency (VHF) di Jeti ICP Lumut.
Siew Fook memaklumkan, rekod menunjukkan operasi memunggah kargo telah diselesaikan pada 22 Disember 2022.
“Berdasarkan rekod pergerakan kapal yang dipantau oleh JLM melalui sistem Automatic Identification System (AIS), Kapal MV Dai Cat 06 direkodkan belayar keluar daripada Lumut pada 23 Disember 2022 dan berlabuh di Perairan Sungai Besar pada 26 hingga 28 Disember 2022 untuk penyelengaraan sistem enjin utama dan sauh.
“Kapal tersebut juga dikesan telah menutup sistem AIS pada 25 Disember 2022 dan pada 29 hingga 30 Disember 2022.
“Posisi terakhir kapal MV Dai Cat 06 dikesan melalui pemantauan AIS adalah pada 1 Januari 2023 iaitu di sektor 9 Traffic Separation Scheme (TSS) sekitar Pulau Mungging.
“Dalam pada itu, kedudukan terakhir yang diterima melalui isyarat kecemasan Emergency Position Indicating Radio Beacon (EPIRB) daripada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dikesan di perairan Indonesia,” katanya.
Siew Fook berkata, sejurus maklumat kejadian kehilangan MV Dai Cat 06 diterima pada 10 Januari 2023, JLM telah mengambil tindakan bagi mendapatkan keterangan awal daripada wakil syarikat perkapalan tersebut.
Katanya, kali terakhir kapal MV Dai Cat 06 dapat dihubungi adalah pada 1 Januari 2023 yang ketika itu dilaporkan berada di sekitar perairan Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, Johor.
Ujar beliau, selepas daripada itu, pemilik dan wakil syarikat perkapalan gagal menghubungi dan mengesan lokasi kapal tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

