syarat makbul doa Ramadan

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bila Ramadan telah datang , maka dibukakan pintu rahmat, dikunci neraka jahanam dan dirantai semua syaitan.”

Indahnya, petikan hadis riwayat Muslim itu. Dengan kerendahan hati mintalah agar pintu-pintu syurga itu tidak pernah ditutup untuk kita. Mohonlah pada Nya agar pintu-pintu neraka itu tidak akan terbuka untuk kita. Dan, syaitan-syaitan terbelenggu maka memintalah agar Allah tidak akan pernah melepaskannya untuk menguasai kita. Amin…

Ramadan bulan makbul doa tapi kenapa sudah puas berdoa, masih tidak dimakbulkan lagi? Isunya betulkah kita berdoa sepenuh hati di dalam bulan Ramadan, lazimnya yang kita ingat hari itu adalah makan, berbuka hendak makan apa, sahur apa, baju raya berapa pasang dan raya di mana? Mungkin kah itu juga sebabnya doa kita tidak dimakbulkan?

Hal cuba dibicarakan bersama Pengasas Sipiritual NLP Training, Dr. Azhar Sarip, untuk menyelam dan menyelidik ertinya Ramadan. Menurutnya apabila hendak merasa makbul doa di dalam bulan Ramadan kita kena buat persediaan untuk menyambutnya, bukan berfikir untuk menyambut raya.

Seeloknya buat persediaan Ramadan sejak bulan Rejab dan Syaaban lagi. Itu yang sepatutnya diamalkan untuk menyediakan diri menyambut Ramadan sebelum datangnya bulan tersebut. Jika kita melihat situasi masyarakat hari ini, membuat persiapan untuk menyambut raya seolah-olah itulah raya terakhirnya. Malangnya mereka jarang menyambut Ramadan seolah-olah itu adalah Ramadan terakhirnya.

Yang hebatnya tentang Ramadan ialah rahmat Allah yang tidak pernah putus sepanjang bulan tersebut. Ketika itu Allah beri kesempatan untuk meminta apa saja tapi adakah kita bersungguh-sungguh meminta?

Andainya anda tahu betapa hebatnya rahmat Ramadan, pastinya anda tidak akan mampu berfikir untuk menyambut raya. Ketika itu anda hanya mahu Ramadan itu mengisi ke seluruh dua belas bulan di dalam setahun.

Jika hendak sihat, kaya, sejahtera dan sukses di dalam hidup, ruang latihannya adalah pada bulan Ramadan. Ia adalah bulan melatih diri untuk hidup setahun lagi kerana di dalam bulan itulah diajarkan bagaimana cara untuk menghadapi kehidupan untuk setahun yang akan datang.

Mengenal nafsu

Ramadan ialah latihan untuk memahami erti nafsu. Jika tidak pernah tahu ertinya nafsu bagaimana upaya hendak melawannya. Dari itu mengenal nafsu adalah lebih penting barulah boleh menguasainya. Ramadan adalah pusat latihan untuk kita menguasai nafsu selama setahun.

Orang yang berdoa pada kala nafsunya cukup lemah maka doanya makbul. Inilah penjelasannya kenapa ketika bulan Ramadan doa makbul? Sebab nafsu cukup lemah. Kerana apa nafsu lemah? Sebab badan lemah dan otak tidak boleh berfikir kerana berpuasa serta tidak makan organ dalaman dan makanan yang tidak sihat.

Tetapi kenapa ramai orang yang berpuasa namun nafsunya cukup tinggi? Kerana, mereka berpuasa bukan kerana Allah dan tidak menghayati hakikat puasa. Mereka berpuasa kerana terpaksa sebab orang lain berpuasa.

Berapa ramai yang kita lihat tidak sabar untuk berbuka puasa. Tidak sabar berbuka puasa ini bukannya kerana untuk mempercepatkan berbuka. Mempercepatkan berbuka itu bagus tapi yang ini baru pukul tiga petang sudah sibuk hendak membeli juadah berbuka puasa.

Ketika Ramadan, Allah ajarkan kita untuk berkenalan dengan nafsu. Nafsu itu letaknya di fikiran jadi jangan lawannya dengan fikiran. Ketika itulah, Allah ajarkan kita cara menguasai nafsu, pertama dengan mengurangkan makan. Puasa adalah kurangkan makan, jadi makanlah kerana menggantikan balik tenaga hilang pada waktu siang dan bukan sekadar untuk kenyang serta mengikut perasaan.

“Tapi kenapa ya? Kita boleh kuasai nafsu yang lain tapi tidak nafsu makan ketika bulan puasa. Kerana, kita biasanya makan untuk kenyang bukannya untuk sihat. Bagaimana untuk makan yang menyihatkan badan? Kuncinya adalah dengan doa. “Ya! Allah sihatkanlah aku daripada makanan yang aku makan ini.”  Sebab itulah kita kenyang tetapi tidak sihat”.

Selain itu, Dr. Azhar juga menerangkan bahawa Ramadan mengajar untuk mendekatkan diri kepada Allah. Untuk dekatkan diri kepada Allah dengan sebenar-benar erti kata dekat adalah dengan menyisihkan nafsu. 

Memang benar pendapat, untuk mendekatkan diri dengan Allah adalah dengan berzikir dan berwirid. Tapi kita masih tidak mampu merasa dekat dengan Allah. Sebabnya ego kita terlalu tinggi. Ketika bulan Ramadan Allah ajar kita untuk menguasai ego sepenuhnya. Ego itu adalah hijab kita dengan Allah.

Jika berjaya melatih diri sebulan bersama Allah, Insya-Allah kita boleh mengekalkan diri bersama Allah bagi tempoh setahun lagi. Orang yang menghayati benar-benar bulan Ramadan, akan menangis ketika berakhirnya bulan itu. Sewaktu tiba bulan Ramadan mereka akan melonjak gembira sebagaimana orang lain gembira apabila berakhirnya Ramadan untuk menyambut hari raya. Wallahu a’lam

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’