Kerajaan teliti dakwaan mangsa banjir di Seberang Takir tidak tersenarai penerima bantuan – Zahid

Dari Penulis

KERAJAAN Persekutuan akan meneliti dakwaan terdapat segelintir mangsa banjir di negeri ini terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang tidak tersenarai sebagai penerima bantuan walaupun sudah mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sekiranya nama mereka didapati tercicir, kerajaan akan segera menyalurkan bantuan melalui peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terus ke kawasan DUN terlibat.

“Jika mereka ini telah tercicir daripada senarai oleh jawatankuasa banjir negeri dan juga oleh jawatankuasa banjir daerah maka saya akan mendapatkan peruntukan daripada NADMA  ini untuk kita salurkan terus melalui Ahli Dewan Undangan Negeri,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di Kuala Nerus hari ini. 

Lebih 100 mangsa banjir di kawasan Seberang Takir telah bertemu dengan Ahmad Zahid di LTSM hari ini untuk menyatakan hasrat mereka agar bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri diagihkan secara saksama.

Menurut mangsa banjir berkenaan, mereka telah memenuhi syarat dan proses yang dikehendaki oleh pentadbiran seperti pendaftaran serta melengkapkan butiran maklumat yang diperlukan dan sebagainya.

BERITA BERKAITAN Bantuan banjir RM50 juta diumumkan PM tak disalur kepada kerajaan Kelantan – MB

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran KKDW di Masjid al-Ansar, Kem Sri Pantai di Kuala Nerus hari ini.

Seramai 1,500 orang masyarakat sekitar yang terdiri daripada pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat telah diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di situ. 

Terengganu merupakan lokasi keempat daripada 13 negeri bagi penganjuran Majlis Santunan Kasih Ramadan yang telah bermula pada 24 Mac di Gombak, Selangor.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kepada pusat-pusat anak yatim berjumlah RM21,000 berserta duit, baju dan hamper raya kepada anak-anak yatim.

Selain itu KKDW turut menyerahkan bantuan kit peralatan dan kursus “Quick Win” KEMAS untuk bidang jahitan, masakan, seni tangan dan dandanan diri kepada 60 penerima dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM210,000.

Bantuan yang diberikan kepada golongan belia, beliawanis, suri rumah dan ibu tunggal yang tergolong dalam kategori B40 luar bandar itu bagi menjana pendapatan penduduk setempat pada musim perayaan ini.

 — BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

SKDS diperluas kepada jip, pikap syarikat mulai 15 Julai

KERAJAAN memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap, sekali gus membolehkan...

More Articles Like This