ISTERI bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan bukan beliau yang menyebar video pergaduhan bersama suami yang tular di media sosial awal Mac lalu
Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, berkata, beliau mengecam individu yang bertindak menularkan video rakaman pergaduhan berkenaan selain telah mengambil tindakan berhubung perkara itu.
“Saya memandang serius penyebaran video dan lain-lain rakaman TikTok di media sosial selain komentar yang dilontarkan kepada saya mutakhir ini.
“Saya telah membuat laporan polis pada 29 Mac lalu serta turut melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah selepas proses memfailkan penceraian terhadap Musa selesai, pagi ini.

Elly menambah, beliau juga telah dipanggil untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berikutan laporan polis yang dibuat oleh peguam Musa ke atasnya.
Katanya, dia juga membuat laporan polis berkaitan perbuatan Musa yang didakwa memukul beliau semasa insiden pergaduhan itu berlaku namun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana masih dalam siasatan polis.
“Rakaman itu dibuat bagi melindungi diri saya dan sebagai bukti yang saya boleh gunakan di Mahkamah Syariah kelak kerana Musa meminta supaya harta atas nama saya dibahagikan sama rata kepada beliau.
“Itu memang saya tidak setuju, saya mahu wariskan rumah saya itu kepada anak tunggal saya.
“Saya sama sekali tidak berniat untuk menjadikan rakaman itu viral apatah lagi untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pihak,” ujarnya.
Elly turut mengecam penyebaran rakaman video tersebut yang telah mendedahkan wajah anaknya yang masih kecil.
Sebelum ini pada awal Mac lalu, satu rakaman yang memaparkan seorang lelaki yang didakwa sebagai Musa bergaduh dengan isterinya di hadapan anak kecil tular di media sosial.
Pertelingkahan suami isteri itu dipercayai berpunca daripada isu berkaitan pemberian nafkah.
Musa bagaimanapun tidak menafikan atau membenarkan dakwaan itu, sebaliknya memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak mengganggu privasi keluarga atau membuat sebarang spekulasi.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

