AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sah menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13, hari ini.
Ia selepas Pengerusi UMNO Melaka itu selesai mengangkat sumpah jawatan pada pukul 3.35 petang tadi.
Ab Rauf, 62, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), hari ini.
Terdahulu, pengumuman Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu dibuat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Wira Zaidi Johari yang memaklumkan pelantikan itu berdasarkan Perenggan (a), Fasal 2, Perkara 7, Perlembagaan Negeri Melaka.
Turut hadir, Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis yang juga menjadi saksi upacara menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan Ketua Menteri Melaka, Taat Setia dan Sumpah Simpan Rahsia.
Ab Rauf menggantikan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletakkan jawatan disandangnya sejak Mac 2020.
Konflik politik Melaka bergelora sejak tahun 2020 lagi apabila menyaksikan Sulaiman mengambil alih jawatan daripada Adly Zahari.
Kedudukan politik sekali lagi bergolak selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Sulaiman sehingga memaksa beliau membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun 2021.
Baca artikel berkaitan: Pelantikan KM Melaka yang baharu jadi tumpuan petang ini
Selepas Barisan Nasional (BN) menang besar pada PRN Melaka itu dengan meraih 21 daripada 28 kerusi DUN, Sulaiman dilantik semula sebagai Ketua Menteri.
Bagaimanapun, gelora politik tidak berakhir apabila nama Ab Rauf sering disebut-sebut untuk menggantikan Sulaiman.
Akhirnya, Sulaiman membuat keputusan meletakkan jawatan berkuat kuasa hari ini sekali gus menyaksikan Ab Rauf dilantik Ketua Menteri Melaka Ke-13.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan Nov 2021, Ab Rauf yang pertama kali bertanding, menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara selepas memperoleh 3,559 undi dalam saingan tiga penjuru.
Anak jati kelahiran Masjid Tanah itu menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang memperoleh 3,195 undi dan calon Pakatan Harapan (PH) Zainal Hassan (489 undi).
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri di bawah pentadbiran Sulaiman.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

