MENDIAMKAN diri selama setahun, penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee mengambil masa mengumpul kekuatan untuk kembali kepada rutin biasa.
Jelas Andi, kesihatan mentalnya kini sudah semakin pulih dari hari ke hari.
Andi atau Andi Azrul bin Andi Mapangile, 32, mengakui banyak cabaran yang dihadapi dalam dirinya sehingga pernah menjejaskan urusan kerja di lokasi penggambaran.
“Insiden terdahulu menyebabkan saya hilang ingatan jangka pendek kerana sukar untuk menghafal skrip walaupun satu lembar.
“Kesihatan mental saya terjejas dan masih dalam proses untuk sembuh.
“Saya tidak merujuk kepada pakar kerana saya yakin bahawa saya masih boleh kawal diri.
“Saya hampir pernah terfikir untuk ‘switch off’ sosial media kerana sudah lelah meminta pendapat daripada orang sekeliling yang ternyata boleh mendatangkan kemudaratan terhadap diri saya sendiri,” jelasnya kepada URTV.
Andi berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik Raya Last Minit nyanyiannya bersama Ryan Bakery di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi.
Melancong ke Jepun untuk proses ‘healing’
Pelakon popular drama Melastik ke Hatimu, akui menjalani beberapa rawatan alternatif sebagai salah satu proses penyembuhan.
Malah, Andi turut bersyukur kerana mendapat sokongan orang sekeliling termasuk ahli keluarga yang selama ini menjadi tulang belakangnya.
“Saya ada juga mendapatkan perubatan alternatif tetapi tidak perlu saya perincikan, hanya untuk simpanan saya sendiri.
“Saya bersyukur kerana ‘support system’ terutamanya keluarga saya sendiri sangat membantu. Jika saya lemah, siapa yang hendak tanggung ibu bapa dan adik-adik saya yang masih lagi belajar?
“Saya juga bersyukur kerana orang di sekeliling saya juga sangat memberi sokongan selain banyak membantu saya.
“Saya pergi melancong di Japan dan duduk di hutan kerana saya kurang gemar pantai walaupun trend sekarang menyatakan pantai adalah tempat untuk ‘healing’.
“Peratus kepercayaan saya kepada orang adalah 50 peratus dan tahap kesemebuhana saya ketika ini sudah 60 peratus pulih. Sedikit lagi akan baik sepenuhnya,” ujarnya.
Pesanan dan harapan
Dalam pada itu, Andi sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai yang mungkin mengalami masalah kesihatan mental sama sepertinya untuk tidak terus menyendiri.
“Jangan selalu menyendiri kerana musuh utama kita adalah diri sendiri.
“Jangan buat jahat kepada orang, kita perlu sentiasa menghormati ibu bapa dan sentiasa ingat Tuhan.
“Saya mengambil komen netizen yang baik-baik sahaja untuk perubahan diri sendiri. Komen-komen yang negatif sama sekali tidak terkesan dalam hati saya kerana saya sudah bersedia lebih awal sebelum masuk industri bahawa saya akan melalui keadaaan ini,” katanya.
@urtv_official “Jangan selalu menyendiri kerana musuh utama kita adalah diri sendiri” – Andi Bernadee #inspirasiramadan #urtv #andibernadee #trendingnewsmalaysia #fyp ♬ original sound – urtvofficial

