SIAPA yang tidak rimas apabila sering diajukan soalan tentang jodoh setiap kali pulang ke kampung atau berkumpul bersama keluarga? Mengambil inspirasi daripada realiti “pahit” yang dihadapi ramai individu bujang, penyanyi versatil Andi Bernadee kembali mencuri tumpuan dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Aku Nak Kahwin.
Lagu yang berkonsepkan santai dan bersahaja ini bukan sekadar sebuah karya muzik, malah ia merupakan satu luahan jujur tentang keinginan seseorang untuk melangkah ke alam perkahwinan, meskipun jodoh yang dinanti masih belum menampakkan bayang.
Menurut Andi, kekuatan utama single ini terletak pada liriknya yang sangat dekat dengan masyarakat.
Dia menyifatkan lagu ini sebagai satu bentuk solidariti buat mereka yang sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bergelar suami atau isteri, namun terpaksa berdepan dengan tekanan sekeliling.
“Saya merasakan lagu Aku Nak Kahwin ini mempunyai tarikan yang sangat kuat kerana ia berpijak di bumi nyata.
“Ia mewakili suara hati ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama hidup sendirian dan sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
“Mesej yang dibawa sangat telus dan terus terang, membuatkan sesiapa sahaja yang mendengarnya akan mudah berasa dekat dengan pengalaman tersebut,” jelas Andi mengenai karyanya.
Di kala carta muzik tempatan kini banyak didominasi oleh lagu-lagu bertemakan kekecewaan, pengkhianatan, dan kesedihan, Andi mengambil langkah berani dengan mempertaruhkan melodi yang lebih positif dan ceria.
“Jika kita lihat landskap muzik sekarang, kebanyakan lagu lebih tertumpu kepada kisah duka seperti putus cinta atau kecurangan.
“ Jadi, saya melihat lagu ini sebagai satu nafas baharu yang lebih segar.
“Single ini hadir dengan tenaga yang lebih ringan dan positif, sekaligus mampu memberikan perubahan mood yang lebih ceria kepada para pendengar,” tambahnya lagi.
Bagi Andi, tekanan sosial dan soalan-soalan panas daripada keluarga adalah isu sejagat yang dihadapi oleh generasi muda hari ini.
Namun, menerusi lagu ini, dia ingin mengajak pendengar untuk menghadapi situasi tersebut dengan cara yang lebih tenang.
“Isu tekanan keluarga ini bukanlah perkara baru, ia sentiasa relevan.
“Apabila tiba waktu berkumpul, soalan tentang jodoh itu pasti akan muncul. Bagi saya, apa yang penting adalah bagaimana kita mengendalikan situasi tersebut.
“Kita perlu hadapinya dengan tenang tanpa perlu terlalu beremosi, sambil terus menghargai sokongan daripada diri sendiri serta individu terdekat,” katanya.
Dari sudut teknikal, lagu ini menyaksikan Andi bereksperimen dengan gabungan elemen nyanyian melodi dan rap.
Walaupun kedengaran ringkas, ia sebenarnya menuntut kawalan pernafasan yang cukup teliti.
Selain itu, pelancaran single ini turut membawa makna yang cukup mendalam buat Andi selepas diuji dengan masalah kesihatan sebelum ini.
Tempoh berehat tersebut digunakannya untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali dengan semangat baharu untuk album penuhnya yang bakal menyusul iaitu Ding Geding.
“Lagu ini membawa pesanan ringkas namun sangat bermakna, bahawa status sama ada kita bujang atau sudah berkahwin bukan penentu mutlak kebahagiaan.
“Setiap orang mempunyai garis masa masing-masing dalam perjalanan hidup.
“Saya berharap karya ini dapat menyebarkan aura positif dan menjadi satu permulaan yang cemerlang buat album penuh saya, Ding Geding yang bakal menemui peminat tidak lama lagi,” ujar Andi menutup bicara.
Aku Nak Kahwin kini boleh mula didengar di semua platform penstriman digital.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

