PENYANYI hip hop, Bunga Isme menafikan khabar angin yang mendakwa dia akan menamatkan zaman solo pada tahun ini.
Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Noor Ayu Fatin Mohd Bakhari,23, itu mengakui sudah ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga tetapi bukanlah dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Nak kahwin tu mestilah nak tapi belum lagi. Saya sudah mempunyai kekasih dan alhamdullilah dia sabar menunggu saya.
“Status kami sekarang ini ialah di fasa merisik…dah merisik bulan Februari lalu. Alhamdulillah, kami dah berkenalan selama empat tahun dan dia orang indudtri seni,” katanya kepada URTV.
Bunga berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik Raya Last Minit oleh Andi Bernadee dan Ryan Bakery.
Sementara itu, Bunga juga mengakui masih belum bersedia untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sekaligus mengalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Katanya, masih banyak impian dan perkara yang perlu dilunaskan sebelum betul-betul bersedia ke fasa lebih serius.
“Sejujurnya saya belum bersedia nak bergelar isteri sebab saya ada banyak lagi perancangan nak buat antaranya bisnes dan juga keluarga.
“Untuk kahwin tu, nanti-nantilah sebab saya dengan pasangan saya pun kita nak merancang yang lebih besar jadi kahwin mungkin perkara nombor dua. Yang pertama ialah keluarga.
“Kahwin pun nak tengok juga kemampuan kita, ia perkara yang sangat besar. Kami tak nak terburu-buru sebab kami kenal empat tahun, rasa masih sangat baru lagi.
“Dan umur saya baru 23 tahun…muda lagi nak kahwin. Jadi saya tak nak terburu-buru sebab kahwin adalah satu hal yang sangat penting dan besar,” ujarnya.
Bunga menjalinkan hubungan cinta dengan Amzar Sabri yang merupakan anggota kumplan Razqa.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

