PEMENANG Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Oscar ke-95 iaitu Tan Sri Michelle Yeoh bakal bertemu peminat di Malaysia pada 18 April ini.
Bintang filem Everything Everywhere All At Once itu bakal diraikan dalam majlis Pride Of Malaysia Michelle Yeoh Homecoming Public Fan di Pavilion Kuala Lumpur, pukul 4 petang.
Kehadirannya itu sekaligus menunaikan janjinya saat menerima trofi tersebut pada 12 Mac lalu.
“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada ibu dan kaum ibu di seluruh dunia kerana merekalah adalah adiwira sebenar. Tanpa mereka, kita tidak akan dapat berada di sini.
“Ibu saya berusia 84 tahun dan saya akan membawa trofi ini pulang ke rumah. Ibu menonton di Malaysia bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Saya sayang kamu semua. Saya akan bawa pulang trofi ini,” demikian kata Michelle sewaktu menerima trofi di atas pentas.
Menerusi Oscar Ke-95, Yeoh menewaskan empat calon hebat lain iaitu Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie: Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).
Terdahulu, menerusi watak Evelyn Quah Wang, Yeoh meraih kemenangan dalam kategori sama iaitu Pelakon Wanita Terbaik pada beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe Ke-80 dan Screen Actors Guild Awards (SAG) Ke-29.

