PEMBANGKANG didakwa cuba membawa naratif tertentu berhubung isu tanah rizab Melayu di Parlimen tempoh hari yang akhirnya dipercayai memakan diri mereka sendiri.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, segala ‘skrip’ yang telah dirancang tidak menjadi setelah beliau mendedahkan situasi sebenar.
“Ingin saya tegaskan sebenarnya dari awal ada naratif yang cuba mereka mainkan, sebab kalau kita tengok soalan pertanyaan Parlimen itu daripada awal ditulis tanah rizab Melayu yang semakin berkurangan.
“Mereka nak mainkan sentimen tanah rizab Melayu berkurangan tersebut…YB Maran ketika itu bangun dan membangkitkan soal hak Melayu terancam dan sebagainya, jadi dia ada skrip.
“(Akhirnya) mereka terperangkap sendiri sebab negeri yang paling ketara yang hilang tanah rizab Melayu dalam tempoh 2021-2022 ialah negeri Kedah,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Baca artikel lain: Kerajaan setuju dedah laporan siasatan Tragedi Double Six – PM
Sebelum ini, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menyusulkan untuk merujuk Nik Nazmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Usul tersebut dibuat terhadap Nik Nazmi yang disifatkan menghina majlis dan ahli dewan di bawah Perkara 36 (12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Nik Nazmi pada 29 Mac lalu memaklumkan, jumlah tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menurun antara tahun 2021 dan 2022.
Beliau menjelaskan, tanah rizab Melayu di Kedah berkurang daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan dakwaan Nik Nazmi dengan menyatakan data hingga 19 Januari lalu menunjukkan keluasan tanah rizab mereka meningkat 408 hektar.
Nik Nazmi menambah, dakwaan Muhammad Sanusi bahawa tanah rizab Melayu di Kedah telah meningkat pada tahun 2023 tidak diketahui kerajaan Persekutuan kerana datanya tak pernah diterima.
Ujarnya, data yang beliau bentang di Parlimen pada 29 Mac lalu adalah datang dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).
“Saya telah menghantar surat bertarikh 4 April kepada Speaker bagi menjawab usul yang ingin membawa saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang mana secara jelas saya nyatakan bahawa kenyataan saya ini berdasarkan jawapan yang disediakan oleh Ketua Pengarah Tanah dan Galian.
“Mereka mengumpul data-data rizab Melayu setiap tahun daripada pentadbir tanah negeri-negeri.
“Saya telah menunjukkan surat yang dihantar daripada negeri Kedah bertarikh 30 November 2022 yang jumlah tanah rizab Melayu yang disebut adalah sama dengan jawapan saya di Parlimen,” katanya lagi.’
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

