Polis menahan seorang penghantar makanan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki membaling bungkusan makanan dan minuman ke arah dua pekerja wanita di sebuah restoran, di Nibong Tebal semalam.
Video berdurasi 1 minit 20 saat memaparkan kejadian itu turut tular menerusi media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata pihaknya menjalankan siasatan kes itu selepas mengesan video berkenaan semalam menerusi satu akaun dipercayai milik restoran tersebut selain turut menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan kekerasan jenayah.
“Menerusi video itu, didapati terdapat dua lelaki dipercayai penghantar makanan yang datang ke restoran tersebut dengan seorang daripadanya bertindak membaling bungkusan makanan dan minuman ke arah dua pekerja wanita yang terdapat di kaunter,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Norazmi berkata penghantar makanan berkenaan yang ditahan di daerah ini semalam, kini direman untuk siasatan lanjut.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di talian hotline 04-5858 222 atau mana-mana balai polis berdekatan.
— BERNAMA
Wednesday, 05 April 2023
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

