SEORANG ibu yang masih dalam tempoh berpantang ditemui maut dengan pisau tertusuk pada leher di dalam sebuah bilik dekat kediamannya di Kampung Beris Panchor, Bachok, petang semalam.
Kejadian tersebut berlaku pada pukul 6 petang selepas mangsa yang berusia 35 tahun itu didapati mengunci pintu bilik dari dalam.
Menurut adik mangsa, Wan Muhamad Nasri Wan Mahadi,23, dia bertindak mengintai bilik kakaknya sebelum mendapati wanita terbabit sudah dalam keadaan berlumuran darah lalu segera memecahkan pintu bilik.
Sementara ibu mangsa yang dikenali sebagai Zuraizah Mat, 58, berkata anaknya itu ditemui dalam keadaan pisau pemotong sayur tertusuk pada leher.
Malah sebelum kejadian terbabit, mangsa telah menyerahkan bayi berusia 36 hari itu kepada ibunya untuk dijaga dengan alasan mahu bercakap di telefon bersama suami yang berada di Kedah.
“Anak pesan minta saya jaga bayinya sebelum dia masuk ke bilik tidur…selepas seketika, saya minta anak bongsu (panjat dinding) guna tangga untuk ‘intai’ (siasat keadaan mangsa) sebab bimbangkan keselamatannya.
“Kami cuba pecah pintu bilik beberapa kali sebelum berjaya masuk, namun terkejut mendapati anak saya terbaring berlumuran darah dengan pisau tertusuk pada lehernya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Jelas Zuraizah, anak perempuannya itu ditemui dalam keadaan masih bernyawa sebelum bertindak mencabut pisau di leher dan meminta ahli keluarga membawa ke Klinik Kesihatan Beris Panchor.
“Pagi semalam pun, dia baru sahaja ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana masalah kesihatan dan doktor ada nasihatkan dia ambil ubat…sejak balik dia macam tertekan,” katanya.
Tambah Zuraizah, anaknya itu dipercayai mengambil pisau di stor luar rumah sebelum bertindak mengunci bilik tidurnya.
Difahamkan, mangsa sebelum ini menetap di Kedah bersama suami dan tiga anak sebelum pulang ke kampung untuk berpantang.
“Menantu (suami mangsa yang berada di Kedah) turut terkejut dengan kejadian itu kerana mereka baru sahaja selesai bercakap di telefon.
“Saya terpaksa bagi menantu bercakap dengan doktor untuk sahkan anak saya sudah meninggal dunia kerana dia tidak percaya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, mengesahkan kejadian itu, dengan siasatan masih dijalankan.
“Setakat ini, siasatan terarah kepada mangsa meninggal dunia akibat menikam diri, namun kita akan jalankan siasatan lanjut,” katanya.
Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

