PELAWAK dan pelakon, Atu Zero mendedahkan sebuah stesen televisyen sudah pun melangsaikan baki bayaran kepada rakan artis yang terlibat dalam program hiburan terbitan stesen berkenaan.
Walau bagaimanapun, Atu terkilan hanya dia seorang sahaja yang masih belum menerima sebarang bayaran gaji hasil keringatnya.
Menurut Atu, rakan-rakan artis mengucapkan terima kasih atas keberaniannya yang lantang bersuara untuk menegakkan hak mereka.
“Saya tak mahu membuka aib sesiapa tetapi ini adalah kebenaran tentang baki gaji saya yang dibekukan tetapi rakan artis lain sudah pun diselesaikan bayaran.
“Saya tak tahu sebab apa, adakah saya lantang bersuara sebab itu gaji saya dibekukan, saya tak tahu.
“Saya bukan berlagak yang saya berani tapi saya nak tegakkan hak masing-masing.
“Pelakon otai dan pelakon baru, ada hubungi saya untuk berterima kasih sebab viralkan kes ini. Bak kata mereka, kalau saya tak viralkan, mereka tak dapat bayaran tersebut,” katanya kepada URTV.
Pelakon filem Syif Malam Raya ini juga mendedahkan proses pembayaran stesen TV terbabit yang perlu melalui tiga proses.
Malah, Atu juga diminta untuk hadir ke pejabat untuk mengambil baki bayaran biarpun sebelum ini dia tidak disuruh untuk membuat demikian.
“Ada tiga proses pembayaran dan tahun lepas adalah kali terakhir dia membayar kepada saya. Kebanyakan mereka sengaja melengahkan dan lewat bayar sehingga langgar ‘due date’ pembayaran.
“Ada baki RM30,000 belum dibayar kepada saya. Kali terakhir mereka hubungi saya adalah pada bulan tiga dan dalam masa yang sama mereka janji akan selesaikan sepanjang bulan tiga ini.
“Saya masih tak menerima apa-apa bayaran waktu itu dan saya dah beri masa kepada mereka selama tiga bulan. Jadi, tepat bulan April, saya viralkan kes ni.
“Selepas itu, mereka suruh saya datang ke pejabat produksi untuk tuntut gaji, saya pelik kenapa saya perlu datang sedangkan sebelum ni bayaran guna transaksi online sahaja.
“Mereka juga suruh saya datang sana dan meminta maaf secara terbuka. Saya tak nak dan tak datang, bukan salah saya,” luahnya.
Dalam pada itu, ditanya tentang reaksinya selepas memerima kiriman WhatsApp daripada wakil TV tersebut yang disifatkan agak kasar, Atu sebaliknya tidak mahu memperbesarkan isu tersebut.
“Saya manusia biasa, saya ada perasaan, semestinya saya berasa marah tapi saya tak mahu samakan diri saya dengan mereka.
“Selepas kejadian terima mesej kurang sopan tu, saya diamkan diri sebab saya akan bersuara sekali sahaja dan dah tak suka nak besarkan hal itu lagi,” katanya.
Masalah disiplin
Ditanya juga tentang punca perkara itu berlaku berpunca daripada pihakmya sendiri atau pun tidak, jelas Atu atau Sharif Kunal Doli Sharif, dia pada awalnya mengakui tidak berpuas hati dengan kontrak terbabit.
“Kontrak yang tertera adalah saya sebagai tenaga pengajar tak perlu naik ke pentas sebab nak beri peluang kepada mereka untuk mencari pelapis pelawak.
“Saya ada buat masalah disiplin tapi sebelum program bermula, saya dah cakap dengan kru dan produksi untuk tak mahu naik ke pentas dan tiba tiba saya dapat arahan yang tenaga pengajar perlu naik pentas bersama pengacara sedangkan dalam kontrak bukan begitu.
“Jadi, saya buat dua segmen sahaja selepas itu terus balik ke rumah sebab saya tidak puas hati. Saya akui kesilapan saya di situ, tapi pihak produksi langgar kontrak juga.
“Pada malam yang sama, mereka ada berjanji untuk memberi duit secara tunai kepada saya tapi tiada apa-apa yang saya terima,” katanya sewaktu ditemui di Tayangan Perdana Sumpahan Malam Raya dan Majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur.
Pesanan kepada stesen TV
Pelakon utama filem Sumpahan Malam Raya itu tetap berterima kasih kepada pihak stesen TV berkenaan kerana memberi peluang kepadanya untuk bekerja.
“Terima kasih kerana memberi peluang untuk saya berlakon dan terima kasih kerana selesaikan bayaran gaji kepada rakan-rakan saya yang lain.
“Kalau saya punya bayaran tak bayar pun tak apa, saya tak mahu besarkan hal ini tapi ingatlah itu adalah duit orang dan hak orang,” ujarnya.
Cabaran berlakon dalam Sumpahan Malam Raya
Dalam perkembangan lain, Atu bakal muncul dalam filem Sumpahan Malam Raya yang akan ditayangkan pada 22 April di seluruh negara.
Membawakan watak utama, Atu akui berdepan cabaran untuk bertutur dalam bahasa Melayu memandangkan dia merupakan anak jati Sabah yang sememangnya sudah sebati dengan loghat bahasa negeri itu.
“Saya rasa cabaran yang paling kuat adalah skrip. Saya orang Sabah jadi susah nak cakap dalam bahasa Melayu yang betul. Banyak juga kru yang membantu saya.
“Yang kedua, penggambaran kami dilakukan semasa hujan dalam bulan Julai tahun lepas. Jadi bila berhenti sekejap, tenaga saya akan turun.
“Dengan adanya pelakon hebat yang lain seperti Daniel Zain, Reen Rahim, Nora Danish banyak membantu saya.
“Saya kena kurangkan tenaga di depan kamera, tidak seperti di Maharaja Lawak Mega, saya guna pentas itu dengan sebaiknya dengan lompat sana dan sini,” jelasnya.

