“Saya dah maafkan sesiapa pun, sekarang masa untuk saya move on.”
Itu kenyataan penyanyi Nabila Razali berhubung rakan artis yang menyindir dirinya tidak boleh menyanyi secara langsung.
Walau bagaimanapun, Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali,31, akui terkejut dan terkilan kerana ia kata-kata ‘pedas’ itu datang daripada penggiat seni yang mencari rezeki dalam bidang sama.
“Bagi saya itu bukan satu isu yang besar. Tapi waktu itu saya agak terkejut apabila ia datang daripada rakan dalam industri sendiri yang sama-sama cari periuk nasi yang sama.
“Bagi saya kerja macam itu (sindiran) biarlah netizen yang buat. Bukannya datang daripada orang dalam industri.
“Public figure ini sepatutnya menjadi contoh tapi kalau ikon sendiri yang buat (menyindir orang) netizen akan anggap tiada masalah kalau mereka buat perkara sama juga,” katanya kepada URTV.
Nabila berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single terbaharu duet bersama Khai Bahar berjudul Selagi Ku Ada.
Tegas Nabila, sebagai selebriti yang sering menjadi fokus, sepatutnya perlu menjaga kata-kata agar tidak menyakiti hati orang lain biarpun ia hanya sekadar niat untuk berjenaka.
Dalam pada itu, Nabila enggan memanjangkan isu terbabit dan sudah pun memaafkan semua orang yang pernah melemparkan kata-kata negatif kepadanya.
“Saya tak nak komen panjang tapi mestilah saya terasa hati dan terkilan tapi saya dah letak isu itu jauh dan tak mahu fikir lagi.
“Apa-apa pun saya dah maafkan sesiapa pun yang berkata demikian kepada saya. Selepas ini saya tak mahu ulas lagi isu ini,” tegasnya.
Terdahulu, tular sebuah video pelawak Atu yang menyindir dengan sinis bahawa Nabila tidak boleh menyanyi secara langsung ketika menyertai program The Masked Singer Malaysia.
Difahamkan, Atu juga telah membuat permohonan kepada Nabila kerana tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

