PENYANYI Nabila Razali melahirkan rasa kesal susulan komen yang dikeluarkan oleh juri The Masked Singer Malaysia musim ketiga, pelawak Atu Zero apabila menyindir dirinya tidak boleh menyanyi secara langsung ketika muncul di program terbabit.
Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali,31, berkata, dia tidak menyangka Atu sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian sekaligus dijadikan bahan untuk melawak.
“Mungkin ‘punchline’ itu kelakar bagi sesetengah orang tetapi tidak untuk saya,” luahnya di Instagram Story.
Tambah Nabila lagi, dia melihat isu berkenaan sama seperti ‘body shaming’ dan menjatuhakn maruah individu di depan khalayak atas norma yang tidak bagus untuk dijadikan amalan.
Malah, ujar Nabila, sebagai seorang pelawak, Atu sepatutnya bijak menggunakan kredebilitinya dengan tidak sewenang-wenangnya menjadikan isu maruah seseorang sebagai bahan jenaka.
“Saya rasa ini sama sahaja seperti ‘body shaming’. Kepada semua pelawak di luar sana, tolong cari bahan lawak yang bagus untuk buat orang ketawa.
“Mungkin dengan cara menjatuhkan orang lain, kamu akan lebih mendapat perhatian. Saya tidak marah pada Atu cuma kecewa,” katanya.
Dalam pada itu, Nabila turut memberitahu, saban tahun dia sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi yang terbaik setelah banyak kali mendapat kritikan mengenai vokalnya.
“Saya cuba sehabis baik untuk perbaiki diri saya setiap tahun. Hanya peminat setia saya sahaja yang tahu progres yang saya lalui,” ujarnya.
Terdahulu Atu memberi komen kepada salah seorang peserta The Masked Singer Malaysia iaitu Si Tangkis yang menyanyikan lagu Pematah Hati.
Bagaimanapun, komen spontan Atu yang disiarkan dalam episod itu mengundang rasa kurang senang kepada Nabila apabila Atu memberitahu individu di sebalik kostum itu bukan pemilik asal lagu terbabit kerana Nabila tidak boleh membuat persembahan secara langsung.

