[VIDEO] Diana Danielle tampil berbeza dalam Senandung Raya – “Saya tak berapa bagus menyanyikan lagu bahasa Melayu berbanding lagu bahasa Inggeris, tapi…,”

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SELAIN cemerlang dalam bidang lakonan, figura hebat ini turut berbakat sebagai penyanyi. Malah, beberapa single yang dilancarkan sebelum ini berjaya mencuri perhatian peminat dan pencinta muzik tanah air.

Bersempena sambutan Syawal ini, Diana Danielle buat pertama kalinya dapat merakamkan lagu raya solo berjudul Senandung Raya hasil ciptaan penyanyi dan komposer, Amylea.

Menurut Diana, lagu terbitan Universal Music Malaysia itu memberikan cabaran tersendiri buat dirinya yang mana perlu menyanyikan lagu bahasa Melayu.

“Saya beritahu Amylea yang mana saya tak berapa bagus menyanyikan lagu bahasa Melayu berbanding lagu bahasa Inggeris, tapi dia sangat membantu dan memberikan sokongan ketika proses rakaman. Ternyata ia bukan semudah disangka, tapi dia sangat membantu.

“Dia juga memberikan tips bagaimana nak memajukan lagi nyanyian bahasa Melayu saya. Saya membesar dan mendengar banyak lagu Melayu, tapi tidak menyanyikannya. Jadi, ia sangat sukar untuk saya di studio.

“Ada perkataan yang kadang kedengaran bunyi bahasa Inggeris jadi tak kena untuk lagu bahasa Melayu. Ia sesuatu yang janggal. Namun, selepas ulang beberapa kali, kami dapat lakukan juga dengan baik,” katanya.

Berdepan cabaran siapkan MV

Diana berkata, bekerjasama kali pertama dengan Amylea juga antara cabaran yang perlu dilalui selain proses rakaman video muzik (MV) yang dibuat pada saat akhir.

“Cabaran MV ini adalah masa kerana ia dibuat pada saat akhir. Tapi, penting untuk saya siapkan. Sebab, saya mahu ia dikeluarkan sempena raya ini. Lagi pula, sebelum ini saya tak ada peluang merakamkan lagu solo raya. Sebelumnya berkolaborasi saja.

“Sejujurnya, saya bangga apabila turut memberikan idea dalam MV ini yang mana nak paparkan situasi sebenar. Sebagai penyanyi baru juga, ia memberikan saya pengalaman bagaimana nak mewujudkan sesuatu yang bermula dengan hanya idea.

“Selain itu, cabaran lain adalah pertama kali bekerjasama dengan Amylea. Sebab saya tak pasti apa yang dia mahukan. Dalam masa sama, menyanyikan lagu bahasa Melayu bukan mudah untuk saya. Saya bersyukur segalanya dipermudahkan dan harap peminat boleh ‘enjoy’ dengan lagu ini,” ujarnya.

Papar situasi sebenar

Berkongsi mengenai konsep MV itu, menurut Diana, ia memaparkan situasi dan suasana sebenar seseorang yang sudah lama tidak pulang beraya ke kampung halaman.

“Konsep MV ini adalah kami nak paparkan apa yang dilakukan oleh orang ramai pada setiap hari raya. Disebabkan itu, kami buat peraduan dan ikut pemenang itu balik kampung di Kelantan.

“Jadi, kami rakam situasi sebenar di mana pertemuan berlaku bersama keluarga selepas tidak pulang ke kampung selama beberapa tahun. Apa yang dipaparkan itu tidak sama jika kita reka situasi berkenaan.

“Disebabkan itu, kami mahu MV ini nampak semula jadi dan ‘real’. Nak tunjukkan bagaimana rasa penuh kasih sayang meraikan hari raya dengan keluarga tercinta. Pendek kata, konsep MV ini sedikit tenang tapi penuh makna,” katanya.

Jauh di sudut hati Diana juga yang menginginkan lagu Senandung Raya itu menjadi malar segar seperti kebanyakan lagu raya lain.

“Sudah tentu saya berharap peminat dan masyarakat boleh menerima dengan baik lagu ini. Sebab ia bukan seperti kebanyakan lagu raya lain, tapi lagu raya yang berentak R&B. Ia mengingatkan saya pada lagu Datuk Sheila Majid.

“Jadi, saya harap orang ramai boleh terima kelainan yang dibawa dalam lagu ini dan raikan perbezaan. Saya selalu dengar orang cakap, kebanyakan lagu raya sama saja. Jadi, untuk lagu ini kami berikan kelainan.

“Mungkin ia adalah risiko, tapi saya percaya peminat hari ini terbuka menerima sesuatu yang lain daripada kebiasaan seperti konsep dan genre lagu.

“Saya juga harap lagu ini menjadi lagu raya yang bakal dimainkan pada setiap tahun selain mengingatkan anda kepada orang tersayang jika merindui mereka tak kira walau di mana berada,” katanya.

Senandung Raya sudah dilancarkan secara rasmi sejak 7 April lalu di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala MV boleh ditonton di saluran Youtube Universal Music Malaysia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Demi masa depan, Kim K ketepikan ego, sanggup beratur panjang uji bakat Suria Records

SEMANGAT kental peserta program realiti Talk To My Manager musim kedua, Kim K dalam mengejar impian sebagai anak seni...

More Articles Like This