LANGKAH diambil Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negeri itu pada 2018 terhadap isu bekalan air menyebabkan projek naik taraf tertangguh selama 20 bulan, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurut beliau, usaha menaik taraf infrastruktur air dirancang sejak 2010 termasuk dengan penubuhan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dan audit kedudukan semasa serta unjuran keperluan masa depan bekalan itu.
Beliau berkata, kerajaan sudah mengenal pasti dan memuktamadkan langkah yang wajib iaitu mengatasi air tidak berhasil (NRW), penggantian paip utama dan keperluan loji rawatan air (LRA) baharu sejak 2013.
“Selepas melalui proses rundingan harga dan aspek teknikal, Kerajaan Pusat setuju memberi geran dan pinjaman untuk lima LRA baharu berjumlah RM931 juta. Iklan tender pembinaan pun dikeluarkan.
“Kebetulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlaku dan PH dapat kuasa. Atas dasar sangsi dan kurang percaya kepada keputusan kerajaan sebelum PRU14, iklan tender ditarik balik,” katanya di Facebook, hari ini.
Lapor media, hampir satu juta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah, dijangka mengalami krisis bekalan air bersih yang disalurkan SADA menjelang sambutan Aidilfitri hujung minggu ini.
Kawasan paling teruk terjejas adalah Daerah Kuala Muda, terutama kawasan sekitar Tanjung Dawai, Bedong, Merbok dan Sungai Petani, selain daerah Kota Setar di kawasan sekitar Kuala Kedah.
Selain itu, gangguan bekalan juga diramal berlaku di beberapa kawasan di hujung sistem bekalan di daerah lain seperti Pendang, Kulim, Yan, Baling dan Sik menyebabkan penduduk terpaksa mula mengumpul bekalan air mulai awal minggu ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, selepas PH memerintah negeri Kedah, sebuah konsultan baharu dilantik untuk mengkaji langkah mengatasi masalah air dan kos yang sewajarnya.
“Selepas lebih kurang 20 bulan menjalankan kajian, konsultan yang PH lantik mengemukakan dapatan mereka. Sama seperti keputusan sebelum PH (mentadbir). (Keperluan) lima LRA baharu dengan kos yang sama iaitu RM931 juta.
“Iklan tender pun dikeluarkan semula, sama dengan (tender) lama. Akibatnya projek tertangguh 20 bulan dan kos tambahan kena bayar yuran konsultan sehingga ratusan ribu ringgit.
“Inilah jasa PH selain tinggalkan SADA beroperasi dalam kerugian RM36 juta pada 2019 dan hutang sebanyak RM174 juta. La ni mai dok buat cakap pandai lagi,” tambahnya.

