AKTRES jelita, Nora Danish akui sambutan Ramadan pada tahun ini seperti berlalu terlalu cepat dan singkat hingga kita sudah menghampir ke penghujung bulan mulia.
Walaupun sibuk bekerja dan menguruskan rumahtangga, Nora berkata bahawa setiap kali menyambut Ramadan, dia sekeluarga sentiasa berusaha sebaik yang mungkin untuk mengkhatamkan al-Quran.
“Saya tetap akan pastikan saya khatam al-Quran setiap tahun di bulan Ramadan walaupun ada yang kecam dan mempertikaikan kenapa bulan Ramadan baru nak buat.
“Saya tak kisah apa orang cakap, asalkan apa yang saya buat itu dapat memuaskan diri sendiri dan Allah tahu apa yang saya lakukan.
“Saya selalu berdoa semoga suatu hari nanti saya dan keluarga dapat berubah menjadi yang lebih baik,” katanya ketika ditemui URTV baru-baru ini.
Dalam pada itu, Nora turut berkongsi persiapannya menyambut hari raya bersama keluarga pada tahun ini.
Sama seperti tahun sebelum ini, Nora akan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mentua di Kuala Lumpur sahaja.
“Biasanya hari pertama dan kedua saya memang akan berada di rumah mentua bagi menyambut hari raya bersama. Manakala raya ketiga kami sudah mula kembali kepada hari-hari biasa, kalau ada rezeki dan kelapangan masa kami akan pergi bercuti.
“Memandangkan saya beraya di rumah mak mentua, saya tidaklah menyediakan juadah sangat kerana kami akan membeli dan membantu peniaga-peniaga di luar sana.
“Setiap kali raya, saya akan pastikan lemang, serunding dan rendang sentiasa ada.
“Bagi saya lemang adalah makanan istimewa ketika raya kerana tak semua orang akan makan lemang di hari-hari biasa,” kongsinya.
Ketika ditanya mengapa tidak memasak juadah raya untuk santapan keluarga, Nora berkata suaminya tidak mahu membebankan dirinya di pagi raya.
“Suami saya tak nak susahkan saya, jadi dia cakap tak apalah saya tak perlu masak kita beli sahaja. Saya bersyukur sangat kerana dapat suami yang memahami.
“Saya juga bukan tak mahu masak, cuma saya lebih pentingkan kelengkapan anak-anak dan suami, macam gosok baju, sampin dan tak mudah sebenarnya nak uruskan keluarga,” ujarnya.

