Ketika anda sedang menikmati hidangan dengan selesa, ada sekumpulan insan bertungkus lumus memikirkan apa yang hendak ‘disuap’ kepada golongan tidak berkemampuan di ibu kota.
Kegigihan Wan Kamariah Daud, 69 bersama sekumpulan insan prihatin menguruskan Warung Makan Sahabat di Chow Kit Kuala Lumpur, yang kini merupakan harapan penghuni jalanan untuk mendapatkan juadah dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Mak Wan, yang dahulunya pernah terlibat dengan penagihan dadah, kini menjadi tunggak kepada usaha pemulihan penagih dadah bersama pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Amal Malaysia.
Di warung inilah, Mak Wan bersama beberapa rakan dan yayasan itu menjadikan Warung Makan Sahabat untuk membungkus dan mengedarkan makanan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.
“Warung Makan Sahabat ini pada awalnya bermula di kediaman Mak Wan sendiri. Kalau ada nasi lebih, Mak Wan akan masak sendiri di atas, tambah ikan bilis dan sayur.
Kemudian Mak Wan bungkus dan hantar makanan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit menggunakan basikal.
“Mak Wan buat semua ini kerana pegawai dekat pusat serenti itu berkata, kalau Mak Wan hendak pulih sepenuhnya dari ketagihan dadah, Mak Wan kena buat kerja-kerja kebajikan.
“Mak Wan banyak menolong dan membantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan berurusan dengan penagih dadah dan gelandangan. Dari sinilah Mak Wan mengenal Yayasan Amal Malaysia,” ujarnya kepada UtusanTV di Chow Kit, Kuala Lumpur.
Sehingga kini Yayasan Amal Malaysia menjadikan Mak Wan sebagai ikon dan inspirasi kepada mereka yang terlibat dengan penagihan dan bekas penagih dadah.
“Tidak kira sama ada kaum Melayu, Cina, India atau warga asing, kehadiran mereka ini tetap akan dilayan sama rata.
“Yang senoroknya adalah Allah memberi rezeki lebih luas daripada apa yang kita rancang dahulu. Setelah tiga tahun beroperasi, hampir 70 individu telah memeluk Islam, malah ada pasangan mualaf berkahwin di sini,’’ ujarnya.
Tambah Mak Wan, Warung Makan Sahabat ini memerlukan ramai penyumbang dan pembantu khususnya dalam aspek kewangan, ilmu dan tenaga.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Yayasan Amal Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Mohd Khairul Azman, menjelaskan pihaknya membantu Mak Wan merealisasikan impiannya membuka Warung Makan Sahabat.
“Kita membantu merubah kehidupan mereka. Contohnya, jika ada yang kelaparan, kita bimbang wujud tindakan luar kawalan. Mungkin mereka terpaksa mengambil jalan salah untuk mendapatkan makanan,” katanya.
Katanya, warung ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan menyediakan makanan sebanyak 250 hingga 300 bungkus sehari untuk gelandangan, asnaf dan anak-anak yatim.
“Kami akan tambah bilangan makanan mengikut keadaan. Dianggarkan RM2,000 sehari dibelanjakan untuk tujuan ini,” jelasnya.
Menurut Mohd Khairul, Warung Makan Sahabat ini bukan sahaja menyediakan makanan secara percuma malah turut memberikan pendidikan secara formal dan tidak formal buat gelandangan tanpa mengira bangsa dan agama.
“Setiap hari kami akan adakan sesi kuliah dan pemahaman agama untuk semua yang datang mengambil makanan. Ini bertujuan memberikan mereka nasihat dan ke arah kebaikan.
“Tiga kelas secara formal juga disediakan untuk mualaf, gelandangan dan kanak-kanak sebagai salah satu cara untuk mendekati mereka. Kita hendak lahirkan masyarakat yang faham agama dan berdisiplin,” katanya.
Warung Makan Sahabat ini mengalu-alukan sumbangan orang awam dan syarikat swasta dalam menjayakan misi ini pada masa akan datang.

