SETIAP kali menjelang Ramadan, acap kali kedengaran mereka bukan beragama Islam untuk tidak ketinggalan merasai sendiri pengalaman berpuasa.
Malah buat TikTok Guru Chan Foo Kion atau lebih dikenali sebagai Kionz Chan, tahun ini merupakan kali kedua dia menyahut cabaran berpuasa.
Kata Kionz, 39, sebab utama dia berbuat demikian kerana ingin merasai sendiri pengalaman yang dilalui oleh orang lain terutama mereka di sektor pembinaan dan penghantar makanan yang bekerja di bawah terik matahari.
Dia yang begitu teruja untuk berpuasa kali kedua tahun ini mengatakan inisiatif untuk berpuasa adalah bagi mencabar diri sendiri sambil melakukan aktiviti yang padat.
Katanya, dia memulakan hari dengan bersahur sekeping roti, vitamin disulam bersama air mineral.
“Tahun lalu, selepas sahur saya terus tidur dan apabila bangun sahaja sudah pukul 10 pagi.
“Tahun ini saya cabar diri selepas sahur tidak sambung tidur dan terus melakukan rutin harian.
“Selepas sahur, saya siapkan persediaan mengajar dan pada pukul 11 pagi kelas bermula.
“Aktiviti ini memerlukan saya untuk bercakap tanpa henti selama empat jam dan ia membuatkan tekak kering serta perut lapar,” ceritanya kepada UtusanTV.
Kionz yang juga seorang pencipta kandungan berkata, pada pukul 5 petang pula dia pergi ke tapak bazar Ramadan bagi membuat ‘content’ sambil mencari juadah berbuka.
“Bila masuk bazar, saya sempat temu ramah peniaga di bazar dan bertanyakan soalan kepada mereka.
“Dengan keadaan berpuasa, sememangnya sangat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
“Saya selau juga dengar kawan-kawan beragama Islam berkata bulan Ramadan semuanya tentang kesabaran.
“Walaupun saya rasa teringin nak makan semuanya, tetapi kita harus mengawal nafsu dan membeli apa yang cukup untuk alas perut,” ceritanya.
Jelas Kionz lagi, dia hanya berbuka dengan mengambil juadah roti john dan tauhu sebanyak tiga keping serta minuman yang berserat tinggi.
“Bila berpuasa ni kita dapat rasa keperitan orang yang dalam kesusahan dan saat berbuka puasa itu dan rasai sendiri nikmatnya.
“Berpuasa juga membuatkan tubuh badan lebih ringan dan sangat bagus untuk kesihatan,” ceritanya.
Ditanyakan sama ada Kionz mahu meneruskan cabaran berpuasa ini pada tahun akan datang, dia menjawab “insya-Allah”.
“Mungkin daripada cabaran satu hari berpuasa akan dilanjutkan kepada dua hari dan seterusnya sebulan,” ujarnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

