Oleh KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
BARU-BARU ini heboh pasal bantuan berjumlah RM15.7 juta untuk 63 buah sekolah persendirian Cina yang diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang juga merupakan Menteri Pengangkutan.
Sebelum itu, Perdana Menteri telah mengumumkan sejumlah RM150 juta untuk 1276 buah sekolah tahfiz dan pondok. Sekali pandang tiada apa-apa yang luar biasa tentang bantuan ini yang memang patut diberi kepada pihak yang memerlukan khasnya untuk pembangunan, penyenggaraan dan sebagainya.
Namun melihat daripada asasnya sudah kelihatan keganjilannya. Pertama pengumuman bantuan atau peruntukan untuk sekolah persendirian Cina diumumkan oleh Menteri Pengangkutan dan bukan Menteri Pendidikan yang berkaitan. Pelbagai spekulasi boleh dibuat berkaitan pengumuman tersebut.
Kedua, walaupun bantuan untuk sekolah tahfiz dan pondok kelihatan banyak namun berdasarkan jumlahnya yang berganda setiap sekolah persendirian Cina mendapat kira-kira RM250,000 berbanding sekolah tahfiz atau pondok hanya mendapat jumlah yang amat kecil iaitu kira-kira RM117,500 bagi setiap sekolah.
Menjadi tanda tanya apakah kriteria yang digunakan bagi menentukan pemberian peruntukan serta jumlah bantuan tersebut. Berdasarkan Islam sebagai agama persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan adalah wajar sekolah tahfiz atau pondok berkenaan diberi peruntukan dan bantuan tersebut.
BERITA BERKAITAN Kedutaan China tawar 57 biasiswa kepada pelajar sekolah persendirian Cina
Tetapi bagaimana pula dengan status sekolah persendirian Cina tersebut?
Walaupun kes sekolah vernakular masih ada lagi proses rayuan di mahkamah yang belum selesai, difahamkan bahawa keputusan awal yang dibuat ialah sekolah vernakular bukanlah badan awam atau tegasnya bukan milik pemerintah justeru tidak tertakluk untuk menggunakan bahasa rasmi, bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah berkenaan.
Ia dilihat sedikit aneh kerana sebagai bukan badan awam tetapi selama ini latihan gurunya, gaji dan elaun guru, bayaran pencen dan pelbagai lagi kos ditanggung oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan.
Sepatutnya Kementerian Pendidikan tidak lagi menanggung sebarang perbelanjaannya kecuali jika sekolah vernakular mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan negara ini.
Persoalan seterusnya ialah jika sekolah vernakular sendiri semacam “bukan sekolah kerajaan” tentulah status sekolah persendirian lebih-lebih lagi mudah difahami sebagai bukanlah sekolah keutamaan untuk diberi peruntukan atau bantuan.
Jika dibantu pun hanya sekadar ihsan dan tidaklah mustahil jika mereka sebenarnya tidak pun daif untuk mengharapkan sebarang bantuan. Apatah lagi sekolahnya begitu lama sejak dahulu sehingga kini tetap enggan dan masih tidak mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan serta tidak mahu menggunakan bahasa rasmi negara ini sebagai bahasa penghantarnya.
Sewajarnyalah dengan keengganan itu sekolah berkenaan tidak layak diberi sebarang peruntukan atau bantuan kerana dipercayai kebanyakannya masih boleh mendapat bantuan daripada badan korporat, tauke serta ibu bapa pelajarnya yang kaya raya berbanding dengan tahfiz dan pondok yang mengharapkan ihsan derma yang tidak seberapa.
Dengan memberi peruntukan atau bantuan walaupun kecil, apatah lagi sebanyak itu, malah melebihi peruntukan kepada sekolah tahfiz dan pondok dapat dilihat seolah-oleh memberi isyarat bahawa keengganan untuk mematuhi dasar pendidikan kebangsaan atau tegasnya melanggar dasar pendidikan kebangsaan dengan jelas tidak akan memberi apa-apa kesan negatif kepada pihak berkenaan.
Bantuan tetap diberikan dan keengganan pihak berkenaan boleh diteruskan sampai bila-bila. Masih banyak lagi sekolah kebangsaan yang daif yang perlu diberi bantuan sewajarnya difahamkan belum lagi mendapat peruntukan khas mereka.
Sepatutnya sekolah daif ini didahulukan kerana jelas merupakan tanggungjawab pemerintah di samping sekolahnya yang sudah semestinya mematuhi Dasar Pendidikan Kebangsaan sepenuhnya.
- * PENULIS merupakan Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti, Majlis Perundingan Melayu. Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang UtusanTV.

