Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah atas pemergian pelakon Ridzuan Hashim,62, yang meninggal dunia hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi menzahirkan rasa sedih selepas mendengar perkhabaran pelakon yang terkenal dengan watak King dalam filem KL Gangster itu menghembuskan nafas terakhirnya akibat sakit jantung.
“Innalillah. Sedih mendengar berita kehilangan pelakon terkenal tanah air, Ridzuan Hashim. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan orang yang beriman. Amin,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon Ridzuan Hashim meninggal dunia ketika sedang sarapan
Terdahulu, berita pemergian Allahyarham disahkan bekas isterinya yang juga pelakon Didie Alias menerusi hantaran video di Instagram.
Menerusi hantaran terbaharu, Didie memaklumkan jenazah arwah dalam perjalanan ke Masjid Batu 16 Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor untuk disembahyangkan sebelum proses pengebumian dilakukan.
“Jenazah dalam perjalanan ke masjid untuk disembahyangkan sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Hulu Langat, Selangor,” tulisnya.
Arwah sudah berdepan dengan penyakit jantung sejak tiga tahun lalu dan pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami sesak nafas.
Allahyarham Ridzuan dilahirkan pada 13 Ogos 1961 di Kuala Lumpur dan pernah mendirikan rumah tangga dengan Didie pada 1991 sebelum bercerai pada 2002.
Hasil pekahwinan itu, mereka dikurniakan lima orang anak iaitu Nur Dhaniyah,30, Muhammad Dhanial,29, Nur Dinie,27, Nur Danie,25 dan Nur Diana yang berusia 24 tahun.
Arwah mula aktif dalam industri pada tahun 80-an dan pernah membintangi filem Antara Dua Hati pada 1988, Hati Bukan Kristal (1990), Lurah Dendam (1996), Ghazal Untuk Rabiah (1997), Sri Dwi Malam (2001), Cinta 200 Ela (2002) dan banyak lagi.
Menerusi filem Hati Bukan Kristal, Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia kesembilan.

