PELAKON Ridzuan Hashim, 62, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi tadi.
Berita pemergian aktor itu disahkan bekas isteri yang juga pelakon, Didie Alias menerusi laman sosial, Instagram kira-kira pukul 2.50 petang tadi.
“Saya mahu beritahu pada semua sahabat yang mengenali bekas suami, Ridzuan Hashim sudah kembali ke rahmatullah.
“Pada sesiapa yang ingin melawat jenazah, arwah masih berada di HKL. Saya akan kemas kini maklumat di mana arwah akan dikebumikan.
“Saya mohon pada semua yang masih ada hutang bersama arwah boleh terus menghubungi saya dan ampunkan beliau,” katanya.
Sementara itu, pelakon Iman Zulkarnain yang juga anak saudara Allahyarham ketika dihubungi berkata, arwah meninggal dunia ketika sedang bersarapan dengan anaknya di rumah.
“Arwah meninggal dunia di rumahnya di Bandar Tun Razak antara pukul 11 hingga 12 tengah hari ketika sedang bersarapan dengan anaknya.
“Dia jatuh dari kerusi makan dan anaknya terus membawa ke hospital. Bagaimanapun, arwah sudah pun menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

