SEORANG pemimpin UMNO Sabah membuat laporan polis terhadap isterinya yang membuat beberapa siri dakwaan termasuk beliau melakukan serangan seksual terhadap rakannya dalam video yang disiarkan dalam sebuah blog.
Ketua UMNO Bahagian Tawau Ghazali Ansing membuat laporan polis di Kota Kinabalu hari ini selepas klip video isterinya membuat tuduhan terhadapnya disiarkan di blog pada malam Isnin (8 Mei).
“Ini adalah tuduhan tidak berasas yang dibuat oleh dia (isteri) dan rakannya.
“Hakikatnya dia melarikan diri bersama dua rakan wanitanya ke Indonesia tiga bulan lalu. Dia meninggalkan anak kami (berumur lapan hingga 13 tahun) pada tengah malam 21 Feb ketika saya berada di Kuala Lumpur,” kata Ghazali, 40, menurut The Star.
Ghazali berkata, beliau mahu isteri dan rakan-rakannya kembali ke Sabah dan membenarkan polis menyiasat dakwaan serius terhadapnya.
“Saya pertama kali membuat laporan polis bahawa dia hilang selepas keluar dari rumah. Tetapi, kemudian polis memberitahu saya bahawa dia berada di Jakarta.
“Dia berada di sana selama tiga bulan bersama rakan-rakannya,” katanya sambil menambah dia tidak menghubunginya atau anak-anaknya sejak menghilangkan diri.
Beliau berkata, dakwaan dibuat blog itu dan isterinya mengganggu emosi anak-anaknya serta imejnya sebagai ahli politik.
Katanya, isterinya 44 tahun, yang dikahwininya sejak 14 tahun lalu, sebelum ini pernah melarikan diri dari rumah pada 2021.
Ghazali telah membuat laporan polis ketika itu dan kemudian menarik balik laporan itu selepas isterinya pulang ke rumah.
“Saya seorang tokoh politik dan saya tahu ada orang cuba mempolitikkan isu domestik peribadi saya.
“Hantaran blog itu diketahui hanya menyasarkan pemimpin UMNO negeri tertentu,” katanya sambil menambah dalam laporan polisnya, beliau juga menggesa tindakan diambil terhadap penulis blog yang membuat pelbagai dakwaan fitnah untuk menjejaskan imej politiknya.
“Saya membuat laporan polis sebagai rakyat biasa. Saya tidak mempunyai layanan istimewa,” tambahnya.

