Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir. GAMBAR: Abd Razak Aid

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang disertai UMNO bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Perkara itu disahkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir seperti dilaporkan Astro Awani, hari ini.

Menurut Mukhriz, prinsip perjuangan Pejuang tidak selari dengan UMNO yang terpalit dengan amalan kleptokrasi.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Kedah itu memaklumkan, Pejuang masih terbuka mengadakan perbincangan untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak yang berada dalam ‘jalur Melayu’.

“Kami (sebenarnya) masih terbuka untuk berbincang, tetapi sepertimana yang disarankan oleh Tun (Dr Mahathir Mohamad), kita (akan bersama dengan pihak yang) ikut jalur Melayu.

“Jadi dari situ kita boleh faham ada pihak yang kita tidak boleh ikut dan (pihak) satu lagi walaupun (bawa nama) Melayu tetapi terpalit dengan kleptokrasi, yang itu pun kami tidak boleh (kerjasama), (seperti) saya katakan daripada dulu, kami berpegang teguh kepada prinsip “di mana ada UMNO, di situ kami tiada,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Saran Pejuang dibubarkan tak berasas, perjuangan belum berakhir

Namun begitu, Mukhriz memaklumkan Pejuang masih belum membuat keputusan sama ada akan menyertai PRN atau tidak.

Ini kerana, beliau berkata, fokus utama parti itu adalah menerusi gerakan diasaskan bekas Pengerusi Pejuang iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Proklamasi Orang Melayu.

Pada masa sama, Mukhriz juga belum lagi memutuskan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra dalam PRN nanti.

Mac lalu, usaha Pejuang untuk menjadi sebahagian daripada ahli komponen Perikatan Nasional (PN) tidak kesampaian selepas gabungan itu membuat keputusan menolak permohonan kemasukan Pejuang.

Keputusan tersebut dibuat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram