

1 Mei lalu kita menyambut Hari Pekerja. Seramai 16.2 juta pekerja menjadi pemangkin Malaysia Madani.
Semasa pandemik Covid-19 melanda, pengangguran memuncak pada Mei 2020, seramai 826.1 ribu orang, kadar pengangguran mencecah 5.3%. Terkini (Februari, 2023) sekitar 592 ribu orang daripada tenaga kerja Malaysia menganggur, kadar pengangguran menurun ke 3.5%.
Dengan kadar pengangguran 3.5%, Malaysia dianggap mencapai tahap guna tenaga penuh. Satu petanda pemulihan ekonomi makro, kembali ke status ekonomi prapandemik.
Namun, kita masih berhadapan dengan dua cabaran besar guna tenaga; kualiti pekerjaan dan kualiti ganjaran kepada pekerja. Ini bukan permasalahan baharu, sudah dikenalpasti sebelum pandemik lagi.
Kedua-dua ini adalah cabaran struktur pasaran buruh, antara syarat utama untuk Malaysia melonjak menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Daripada 16.2 juta orang yang bekerja, hampir 1.9 juta pekerja dianggap ‘underemployed by skill’, iaitu pekerja yang mempunyai kelulusan tertiari tetapi bekerja dalam pekerjaan yang tidak setanding dengan kelulusan mereka.
Saban tahun, bilangan pekerja yang tidak dapat memanfaatkan kelulusan pendidikan mereka semakin meningkat. Pada tahun 2017, hanya 1.3 juta berada dalam kategori ini. Trend yang semakin membarah ini mesti ditangani segera. Satu kerugian kepada negara dan pekerja apabila pencapaian pendidikan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Yang lebih merunsingkan ialah dalam masa yang sama, hanya 28% dari pekerja Malaysia dikategorikan sebagai pekerja mahir, 60% pekerja separa mahir dan 12% pekerja berkemahiran rendah. Untuk menjadi negara maju, kita perlukan pekerja mahir yang lebih ramai.
Baca artikel berkaitan: Cukuplah, mari bersama kita jaga negara kita

Gaji dan upah kepada pekerja adalah antara ukuran pendapatan yang penting bagi menilai manfaat kepada pekerja. Kesejahteraan kehidupan dan keupayaan untuk berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup amat bergantung kepada pendapatan.

Hanya 37.2% pendapatan negara sampai ke poket pekerja. Selebihnya kepada majikan/pemilik modal. Berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat dan UK, pekerja memperolehi 55% dan 53.4% daripada pendapatan negara.
Trend upah juga membimbangkan, secara umumnya malar. Meningkat tetapi dengan kadar yang perlahan. Pada tahun 2010 kadar upah penengah pekerja ialah RM1,500, kini ianya RM2,250. Kemalaran kadar upah lebih nyata bagi pekerja separa mahir dan tidak berkemahiran.

Komitmen Menteri Ekonomi untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia adalah usaha yang tepat dan kita alu-alukan. Fahami apa yang mengekang kenaikan gaji dan upah. Letak sasaran, bentuk strategi yang berkesan, laksana dan laporkan pencapaian.
Pekerja adalah pemangkin Malaysia Madani. Apakah ertinya Malaysia Madani ini kepada pekerja? Kesejahteraan, Hormat dan Ihsan adalah antara 6 rukun Malaysia Madani. Angkat martabat pekerja, dengan peningkatan pekerjaan dan ganjaran bekerja yang berkualiti. Ini madani buat pekerja.
MINDA-UKM: Bersama Membangunkan Malaysia
Sumber data: DOSM
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram