MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama Kristian.
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, MAIS kesal dengan tindakan unilateral Kerajaan Perpaduan yang menarik balik rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.
Jelas beliau, hal itu kerana tindakan tersebut dilakukan tanpa berunding dengan pihak MAIS dan pihak-pihak lain yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan tersebut.
Katanya, MAIS berpendirian kes tersebut bukan hanya berkaitan dengan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi melibatkan perkara akidah orang Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada di bawah bidang kuasa Raja sebagai Ketua Agama Negeri.
“Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai amicus curae (sahabat mahkamah).
“Sebagai pihak berkuasa agama berkaitan pentadbiran agama Islam yang bertanggungjawab untuk melindungi akidah umat Islam, MAIS berpegang teguh dan menjunjung titah Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan berkaitan agama di Selangor.
“Dalam titah Baginda, Sultan Selangor menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Selangor.
“Baginda berpendirian bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan tidak boleh digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: Kalimah Allah: Agong perkenan Kabinet persembah cadangan kukuh dasar
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, pihaknya juga menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Selangor adalah merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010.
Katanya, MAIS berpandangan bahawa demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah Allah wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi memutuskan isu berkenaa secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah Allah.
Beliau berkata, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan meruiuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.
Tegas beliau, ia untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Selangor.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes Jill Ireland disebabkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dikeluarkan ketika itu menggunakan pendekatan perundangan sivil dan pentadbiran.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu tersebut berkait rampasan bahan penerbitan dan bukanlah dari sudut teologi ataupun apa juga yang membabitkan penggunaan kalimah Allah.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram