LIMA orang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menculik seorang jurujual bagi mendapatkan wang tebusan lebih RM1.12 juta, hujung bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh, Suhaimi Mat Zin, 41, Zulkarnain Ramli, 46, Wong Guo Song, 33, Muhammad Azam Hatan, 32, dan Yong Zi Hui, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia, pagi ini.
Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima individu itu didakwa secara bersama-sama dengan maksud menahan, abduksi (culik), dan mengurung seorang lelaki berusia 39 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bagi tujuan mendapatkan wang tebusan beranggaran sebanyak RM1,125,550.

Kelima-lima tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan yang masih bebas di Jalan Mesra Ria, Brickfields, Kuala Lumpur sekitar jam 10.30 malam pada 29 April lalu.
Justeru kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.
Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat jika tidak dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan.
Sementara itu kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Tharamjit Sikh, Azinuddin Karim, Ashraff Mohd Diah, Izzati Yaacop, Izwan Ariff Ibrahim, dan Nasir Nordin.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai depan bagi sebutan semula kes.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

