BEKAS Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dinasihatkan supaya tidak terlalu lama mempertimbangkan tawaran dikemukakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan Khairy sebagai seorang pemimpin yang boleh memainkan peranan penting.
Pada masa sama, kata beliau, bekas Ahli Parlimen Rembau itu juga pasti dapat menarik sokongan ramai sekiranya menubuhkan parti baharu.
Namun begitu, Ahmad Faizal percaya Khairy mengetahui bahawa Perikatan Nasional (PN) merupakan wadah masa hadapan untuk negara.
“Nasihat saya kepada Khairy, masa tak menunggu kita.
“Walaupun ini sebenarnya satu peluang bagi beliau, bukan mudah nak dapat peluang pilih parti. Kami hormati keputusannya untuk ambil masa.
“Saya percaya beliau tahu PN wadah masa depan,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Bersatu tawar jawatan MPT kepada Khairy
Isnin lalu, Khairy dalam siri podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan bersama Shahril Hamdan berkata, beliau masih memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai tawaran sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dikemukakan Muhyiddin.
Beliau berkata, bukan mudah untuk membuat keputusan itu kerana bukan niatnya mahu menjadi calon pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Muhyiddin minggu lalu berkata, keputusan mengenai tawaran kepada bekas Menteri Kesihatan itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini.
Muhyiddin berkata, jika Khairy menyertai Bersatu, beliau boleh membantu membina kekuatan parti memandangkan beliau adalah tokoh politik muda yang berkaliber.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, Khairy tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan di Parlimen Sungai Buloh dengan majoriti 2,693 undi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

