BEKAS Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin telah ditawarkan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya membuat keputusan menyertai parti tersebut.
Perkara tersebut diakui Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti dilaporkan BH Online, hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendedahkan, tawaran tersebut telah pun dikemukakan selepas bekas Menteri Kesihatan itu dipecat daripada UMNO, Januari lalu.
Menurut Muhyiddin, tawaran berkenaan mengambil kira kemampuan Khairy bagi memperkukuh kedudukan Bersatu di samping ketokohan sebagai pemimpin politik muda.
“Saya dan dia (Khairy) sudah berbincang hal ini agak lama, sejak dia dipecat. Ketika itu dia ajak saya berjumpa dan berbincang secara terbuka mengenai hala tuju dan ketokohan beliau sebagai ahli politik muda yang berkaliber.
“Sebenarnya, dia tak mohon untuk masuk (Bersatu) tetapi saya tawar dia menyertai. Tawaran masih ada dan saya ada bertanya lagi (perkembangan menyertai Bersatu) ketika dia menghadiri rumah terbuka saya tempoh hari.
“Khairy bagaimanapun belum memberi sebarang keputusan. Saya rasa tak mengapa, kita tak mahu menggesa dia tetapi harapan Bersatu adalah dia menyertai kita dan bantu membina kekuatan parti,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) merasmikan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0.
Baca artikel berkaitan: Nama besar UMNO sertai PN, Pas, Bersatu awal Jun
Khairy bersama isterinya, Nori Abdullah, baru-baru ini, dilapor menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) di Bukit Kiara, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan, Khairy tidak mengemukakan sebarang permintaan tertentu sekiranya mahu menyertai parti tersebut.
Pada masa sama, beliau juga mendedahkan tidak menawarkan jawatan Menteri Besar kepada bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu sekiranya PN berjaya memenangi mana-mana negeri.
“Khairy terbuka (sertai Bersatu) dan pada masa sama menjelaskan, tiada ‘game changer’. Dia bersedia untuk tidak memiliki jawatan jika menyertai Bersatu dan tak mengemukakan sebarang tuntutan dan ini adil. Dia tahu selok-belok politik.
“Hal seperti ini biasa dibincangkan antara pimpinan dan tiada apa-apa yang mahu diselindungkan. Cuma, Bersatu ada dua kekosongan dalam MPT, namun ini bukan umpan untuk dia menyertai parti. Saya biarkan dia tentukan keputusannya sendiri,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

