PELAKON, Hariz Hamdan, tampil menjelaskan kedudukan hubungannya dengan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, Hazwani Helmi, selepas hantarannya di media sosial baru-baru ini mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
Meskipun sering dikaitkan mempunyai hubungan istimewa, Hariz, 24, menegaskan hubungannya dengan adik kepada selebriti Heliza Helmi itu hanyalah sebagai kawan rapat dan rakan seperjuangan dalam memberikan kesedaran mengenai isu sejagat.
Hariz tidak menafikan dia ada menitipkan pesanan peribadi buat Hazwani ketika wanita itu sedang bersedia untuk menyertai misi kemanusiaan yang mencabar ke Gaza.
Baginya, sokongan moral adalah perkara paling kecil yang boleh diberikan kepada seorang sahabat yang sedang melaksanakan niat murni.
“Sewaktu hari jadi Hazwani baru-baru ini, saya ada menghantar satu nota ringkas.
“Dalam nota tersebut, saya sekadar mengucapkan selamat hari jadi dan mendoakan agar urusannya untuk misi Sumud berjalan dengan lancar.
“Mungkin saya tidak tahu secara mendalam niat sebenar dia ke sana untuk berjihad atau sebagainya, kerana itu adalah urusan dia dengan Allah SWT, namun saya tetap mendoakan yang terbaik,” katanya kepada URTV ketika ditemui pada majlis Macam-Macam Raya bersama Rocketfuel Entertainment, baru-baru ini.
Menyentuh mengenai kritikan sesetengah pihak yang mempertikaikan penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan yang berisiko tinggi seperti GSF, Hariz memilih untuk bersikap neutral namun tetap memberikan galakan.
Dia berpendapat setiap niat baik tidak seharusnya dipatahkan dengan komen-komen negatif.
“Saya faham dalam isu ini wujud konflik dan salah faham.
“Ada pihak yang suka dan ada juga yang tidak. Sebagai seorang kawan, nasihat saya kepadanya adalah untuk terus kuat dan lakukan apa yang dirasakan betul.
“Segala apa yang orang perkatakan mungkin boleh diambil sebagai iktibar, tetapi niatnya untuk membantu warga Gaza adalah antara dirinya dengan Tuhan,” jelas pemilik nama lengkap Muhammad Hariz Muhammad Hamdan ini.
Hariz turut mengambil kesempatan untuk memperbetulkan salah faham berhubung hantaran di aplikasi Threads mengenai ciri-ciri wanita idamannya yang dikatakan merujuk kepada Hazwani.
Sebelum ini, Hariz menyatakan dia menyukai wanita yang berkarakter kuat dan menjaga hubungan dengan Tuhan, yang mana ciri-ciri tersebut dilihat sangat sinonim dengan Hazwani.
Walau bagaimanapun, pelakon drama Bunga Salju itu menjelaskan hantaran tersebut bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu secara spesifik.
“Hantaran mengenai ciri-ciri wanita idaman itu adalah secara umum sahaja, cuma mungkin ada netizen yang mengaitkannya dengan Hazwani.
“Buat masa ini, kami hanya berkawan. Namun, saya tidak menafikan bahawa jika saya ada calon isteri pada masa hadapan, saya mahukan wanita yang berhijab serta mempunyai karakter yang kuat seperti yang saya nyatakan itu,” tambahnya lagi.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

