SEPANJANG tempoh kehamilan ibu-ibu digalakkan lebih peka dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu. Begitu juga situasinya dengan ibu yang menyusukan bayi.
Ada kalanya kesilapan kecil akibat dari pengambilan ubat boleh menjejaskan kesihatan janin di dalam kandungan mahupun bayi yang melalui fasa penyusuan eksklusif susu ibu.
Kesilapan mengambil ubat tanpa preskripsi dari doktor atau pakar farmasi boleh menyebabkan ubat yang diambil akan menyerap masuk dalam jumlah yang kecil dan diserap oleh janin dan menjejaskan susu ibu.
Ubat Dan Kehamilan
Peringkat awal pembentukan janin adalah peringkat yang berisiko paling tinggi di antara minggu ketiga ke minggu ke sebelas dalam kandungan.
Melewati trimester kedua dan ketiga, ubat-ubatan mungkin memberi kesan kepada tumbesaran serta pembentukan janin. Dalam kes tertentu impak dari pengambilan ubat boleh meninggalkan kesan toksik ke atas tisu janin.
Ubat-ubatan yang diambil sebelum atau ketika melahirkan anak mungkin memberikan kesan yang tidak baik sewaktu proses kelahiran bayi. Begitu juga ke atas bayi selepas proses kelahiran.
Sekali lagi dinasihatkan si ibu segera merujuk hal berkaitan pengambilan ubat dengan doktor yang bertauliah.
Penyusuan Ibu
Apabila mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor, ibu-ibu diingatkan untuk memaklumkan mengenai proses penyusuan yang sedang berlaku ke atas bayi. Elakkan mengambil ubat yang tidak diperlukan. Tangguhkan penyusuan badan buat sementara waktu jika perlu.
Jika anda perlu mengambil ubat ketika penyusuan badan, pastikan anak diperiksa selalu untuk menentukan tiada kesan buruk berlaku. Ambil ubat segera selepas penyusuan anak dilakukan, bagi menentukan kesan ubat berada pada tahap paling rendah untuk penyusuan akan datang.
Untuk mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, dinasihatkan untuk mengambil ubat sebelum waktu tidur bayi yang panjang.


