Julia Farhana tak kisah hilang tawaran kerja sebab berhijab – “Sebenarnya saya dah bertudung selama empat tahun tapi ‘on off’…,”

Dari Penulis

Pelakon, Julia Farhana mengakui sudah berhijab sejak empat tahun lalu namun ketika itu dia masih belum konsisten untuk menutup aurat sepenuhnya lagi.

Ujar Julia atau nama penuhnya Julia Farhana Marin , dia belum bersedia dengan keadaan itu dan akui tidak risau tentang kehilangan karier kerana dia mempunyai kelayakan lain yang boleh dijadikan sumber pendapatan.

“Sebenarnya saya dah bertudung selama empat tahun. Apabila di luar penggambaran, saya pakai tudung, tapi di set penggambaran, saya tak pakai tudung. Masa bulan Ramadan saya wajibkan diri saya untuk bertudung.

“Saya belum bersedia untuk menutup aurat sepenuhnya dan saya pun tak risau jika hilang sumber pendapatan asbab saya berhijab. Saya ada sijil Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan macam-macam kerja lain saya boleh buat,” ujarnya.

Tambahnya, dia mengetahui ramai akan mengecam tindakan itu tetapi dia turut meminta untuk masyarakat memberinya masa untuk dirinya menutup aurat dengan sempurna.

Pelakon berusia 29 tahun itu ingin mengelakkan kontroversi dan menjaga nama baik keluarga serta tidak risau tentang pandangan negatif netizen terhadapnya.

“Saya tahu ramai akan pertikai tentang perbuatan saya atas sebab saya selebriti, memang itu lumrah manusia. Saya mengambil masa untuk tak nak ada kontroversi yang akan melibatkan keluarga saya.

“Tahun ni saya betul-betul bersedia untuk berhijab. Ada sesetengah penerbit masih belum tahu penampilan baru saya.

“Saya masih lagi dalam proses pembelajaran. Apa sahaja kita buat memang memerlukan ilmu. Proses perubahan ni pun banyak yang saya tak tahu terutama sekali tentang kaki itu aurat, saya baru tahu tentang itu.

“Saya buat semua perkara ni adalah untuk diri saya dan saya tak risau dengan pandangan orang luar terhadap saya sebab saya akui orang tetap akan terus bercakap tentang kita,” jelasnya kepada URTV.

Anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu berkongsi niatnya melakukan perkara itu dengan ikhlas dan maklumat tentang kaki itu sebahagian dari aurat diterimanya selepas mendapat teguran daripada pengikut yang menghantar mesej di Instagram miliknya.

Namun begitu, pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia itu menyatakan tidak mudah untuk beralih ke fasa bertudung dan dia turut memohon doa yang terbaik daripada masyarakat.

“Saya terima teguran kaki itu aurat pun menerusi mesej lansung (DM) pengikut saya di Instagram. Betul apa dia cakap dan itu peringatan yang bagus.

“Saya nak mencari barang muslimah terutamanya ‘handsocks’ pun susah, jadi banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari untuk sempurnakan satu persatu,” katanya.

Kurang kongsi gambar suami di media sosial

Kurang berkongsi gambar bersama suami, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum di media sosial, Julia akui mereka berdua cukup menjaga ruang privasi.

Kata Julia, dia mengehadkan penggunaan platform media sosial sebagai tempat berkongsi perkembangan karier seni dan urusan kerja.

“Saya dan Dr Hafiz, kami memang menjaga privasi tapi kalau bab kahwin, memang kami kongsi kepada semua sebab nak elak fitnah.

“Media sosial sekarang memang lain sebab orang lain ada akses untuk kehidupan kita selama 24 jam seolah-olah memberi peluang untuk mereka mengecam kita. Sebenarnya, dalam alam maya ni bukannya semua kehidupan sebenar kita.

“Saya dan suami lebih suka berbual secara berdepan dan saya hanya akan memuat naik suatu hantaran di media sosial atas sebab kerja sahaja.

“Saya memang jarang ‘upload’ tentang hal peribadi, boleh kira beberapa ‘posting’ saja,” jelasnya ketika ditemui di acara pengumuman duta Herbs Of Gold di KL Eco City, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon drama Akira Khan itu berasa ralat tidak boleh mengelakkan sikap iri hati daripada netizen terhadapnya dan akui perlu muhasabah diri.

“Saya nak elak orang dengki pun tak boleh, walaupun bukan dalam media sosial, secara berdepan pun orang boleh ada rasa begitu.

“Kita kena berhati-hati dan paling penting kita perlu berbalik kepada niat asal perbuatan kita sekaligus perbaiki diri.

“Macam Covid-19, kita dah tak boleh elak, kita kena jaga diri kita. Sama juga macam orang nak hukum kita, biarkan saja,” ujarnya.

Untuk rekod, Julia dan Dr Che Muhammad Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022 dalam sebuah majlis tertutup yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This