PENYANYI popular, Aina Abdul mendedahkan sepanjang memakai baju ‘tilam’ ketika menjurikan program realiti Big Stage musim kelima minggu lalu, dia tidak pergi ke tandas.
Ujar Aina, dia telah diajar untuk berbuat demikian sejak memilih untuk menggayakan fesyen pelik seperti yang didakwa netizen ketika mempersembahkan lagu Sumpah di Anugerah Juara Lagu ke-34.
“Bila saya dah pakai baju tu, saya tak boleh pergi ke tandas. Saya memang telah diajar sebegitu sejak lagu Sumpah lagi,” katanya.
Tambah penyanyi berusia 30 tahun itu, dia berasa normal dan tidak memikirkan hal yang pelik setiap kali memilih untuk berpakaian sedemikian dan lain daripada lain.
“Saya pakai baju ‘tilam’ tu ada juga rasa sedikit lencun tapi sepanjang saya berfesyen sebegitu, saya dah tak ada rasa apa-apa dah sebab saya pernah pakai baju lain dan lebih dari itu,” ujarnya kepada URTV.
Bagaimanapun, pelantun lagu Sepi itu menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia sengaja membangkitkan provokasi setiap kali menggayakan busana daripada pereka fesyennya.
Katanya, perkara ini seolah-olah seperti situasi ‘menang-menang’ untuk mempromosikan pereka fesyen yang baru sahaja bertapak tetapi mempunyai bakat yang besar sekali gus mencipta suatu kelainan dalam dirinya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Semalam itu menyatakan untuk berpijak di bumi yang nyata bagi industri tempatan yang bukan sahaja menonjolkan bakat suara tetapi ia mahukan lebih dari itu.
“Sesetengah orang akan fikir saya buat provokasi tapi saya tahu rakan-rakan industri saya lebih memahami dan tak akan rasa saya seperti itu.
“Saya lebih kepada menghargai karya pereka fesyen lagi-lagi yang masih baru, tapi mereka ada bakat yang terpendam. Jadi, bakat itu diperagakan khas kepada dirinya untuk suatu kelainan.
“Kita kena akur bahawa industri sekarang bukan hanya sekadar pandai menyanyi tapi kena bijak dalam semua perkara dan sebab itu saya utamakan fesyen sebegini.
“Jati diri saya memang sukakan penyanyi yang lengkap dengan suara dan fesyen seperti Rihanna, Lady Gaga. Jadi, saya sebagai wanita yang memakai hijab beranikan diri untuk tampil dengan fesyen itu,” jelasnya.
Terkejut dengan kecaman netizen
Pelantun lagu Terus Hidup itu juga berkongsi rasa terkejut apabila netizen tergamak melontarkan kritikan terhadap saiz bajunya yang terlalu besar sehingga menghalang pandangan penonton yang hadir di Big Stage musim kelima, hujung minggu lalu.
Tambahnya, dia memakai baju itu kerana ‘boost confidence’ dan dia berkongsi tentang mesej disebalik baju ‘tilam’ itu yang berkaitan dengan tema hari galau selain merupakan simbolik untuk meluahkan perasaan.
“Saya terkejut dengan komen netizen, tak sangka mereka akan kecam saya dari segi saiz baju itu sebab bagi saya, saya dah pernah pakai baju yang lebih besar dari itu.
“Saya lebih suka untuk elak baca komen negatif, tapi saya ada terbaca sikit dan saya rasa ini bukan benda baru untuk saya sebab daripada saya nyanyi lagu Sumpah pun memang saya dah dikecam seperti ini.
“Saya ni kalau dapat nyanyi, mungkin tidak la begitu baju saya. Baju ni bukan sekadar untuk viral, tapi untuk tingkatkan keyakinan saya. Jadi tunggu ya untuk minggu ni, saya akan ‘tone down’ tapi masih cantik.
“Saya bukan tak endahkan komen tu tapi baju ‘tilam’ tu ada mesej yang saya nak sampaikan iaitu ia merupakan simbolik katil atau tilam untuk meluahkan perasaan sedih, gembira dan bermacam lagi,” ujarnya.
Bagaimanapun, Aina menafikan baju tersebut menghalang pandangan penonton yang berada berdekatan dengan meja juri Big Stage kerana barisan juri sendiri mempunyai kedudukan dan hak untuk berada di situ.
“Saya akui memang rasa terganggu dengan komen yang saya dapat. Ada yang melampau sehingga ‘face shaming’ diri saya dan ada yang cakap pasal nak boikot saya disebabkan baju saya.
“Bagi saya, banyak lagi isu yang boleh diketengahkan selain isu saya ni. Pentas juri ni ada di atas ‘platform’ yang disediakan. Saya memang tak menghalang pandangan orang sebab kawasan situ memang penonton tak nampak sangat pun. Saya bukan nak riak, tapi ni tugas saya sebagai juri,” jelasnya.
Impikan album
Sebagai anak seni yang dibesarkan dengan membeli album fizikal milik artis lain, pelantun lagu Berkunjung Di Hari Raya itu dalam proses pembikinan album fizikal untuk para peminat.
“Saya sebagai anak seni yang membesar dalam kalangan penyanyi yang mempunyai album fizikal seperti Datuk Siti Nurhaliza, saya nak buat fizikal album seperti itu.
“Saya nak jadi penyanyi yang peminat saya akan beli cakera padat dan saya sedang dalam proses untuk siapkan album itu.
“Dalam tu ada 10 lagu. Tahun ni saya teruja nak hasilkan sesuatu yang boleh saya simpan sampai mati,” ujarnya ketika di temui di majlis pelancaran Ali Zahra Holdings Sdn Bhd dan Lagu Kembara Nabawi ‘Aina Abdul’ di sebuah hotel terkemuka yang terletak di Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan lain, Aina berkongsi tentang ditawarkan menjadi penyanyi tema untuk syarikat Ali Zahra Holdings Sdn Bhd, bertajuk Kembara Nabawi yang mengisahkan tentang perjalanan Nabi Muhammad.
Tambahnya, dia diberi peluang untuk belajar menyanyikan genre dan lenggok yang berbeza melalui lagu tersebut dan lagu itu juga dikaitkan dengan kehidupan perjalanan dirinya sendiri.
“Saya diberi peluang oleh komposer lagu itu untuk menyanyikan lagu ini. Bagi saya, dalam fasa ini, bukan saya mahu mencuba hanya sekadar fesyen, tetapi saya juga suka mencuba genre baru melalui muzik dan mesej yang ingin disampaikan.
“Lagu ini mengisahkan tentang perjalanan Rasulullah dan serba sedikit saya kaitkan dengan kisah hidup saya yang merupakan seorang hamba melalui perjalanan yang ditempuhi dalam pelbagai bidang.
“Saya suka lagu ini dan lagu ini bagus serta saya dapat belajar cara lenggok lagu ni. Lagu ni lebih kepada islamik, intelektual, jadi saya memang kena betul-betul belajar, tak boleh hentam lenggoknya,” jelasnya.

