PELAKON, Aedy Ashraf menyimpan hasrat untuk berlakon dalam naskhah autobiografi mengenai tokoh-tokoh terkenal negara.
Ujar Aedy atau Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, dia menginginkan watak berkarisma seperti Khairy Jamaluddin (KJ).
“Saya sukakan watak seseorang yang hidup. Saya rasa itu cabaran yang susah sebab sebelum ini saya selalu dapat watak rekaan yang sedia ada dalam skrip.
“Saya nak watak sebagai salah seorang tokoh seperti Farid Kamil yang membawakan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam cerita Anwar:The Untold Story.
“Ini cita-cita saya. Nak watak seperti KJ, beliau berkarisma tinggi dan ada karakter yang bagus sebagai lelaki. Saya saja berangan, kalau rezeki dapat berlakon sebegitu, saya okay saja,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon berusia 30 tahun itu kini sedang mempersiapkan diri untuk duduk di kerusi pengarahan.
Malah, kata bintang Budak Tebing itu lagi, dia juga dalam fasa sedang menimba ilmu pengarahan dan dunia penerbitan.
“Saya akan duduk di dalam industri ini sebagai penerbit dan pengarah. Saya masih lagi sedang berjinak-jinak untuk belajar selok-belok ke arah itu.
“Saya sentiasa bersiap untuk menjadi seperti itu sebab saya dah berlakon selama 24 tahun. Jadi, banyak projek yang saya dah arahkan untuk jenama saya, Challo Worldwide dan filem pendek Renjana.
“Insya-Allah, saya akan mengarahkan satu filem suatu hari nanti, mohon doakan kejayaan saya,” ujarnya kepada URTV.
Saingan sihat pelakon Projek: High Council
Aedy yang mula mencipta nama dalam filem Tentang Bulan tidak pernah rasa tercabar dengan kehadiran barisan pelakon Projek: High Council yang melonjak naik ketika ini.
“Saya tak rasa tergugat dengan mereka. Saya rasa perkara tu bagus sebab industri kita perlukan pelapis baharu seperti mereka.
“Kalau diberi saingan pun, saya rasa itu saingan yang sihat supaya saya tidak terlalu selesa dengan keadaan sekarang. Sebab saya akui mereka mempunyai bakat yang besar.
“Saya pun dah beralih ke fasa seterusnya dan sering mendapat watak yang lebih dewasa. Saya sendiri memang suka bakat dan kerja mereka.
“Mereka sangat komited walaupun kami tak pernah kerja sekali, tapi mereka pun merupakan kawan kepada kawan-kawan saya juga,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, pelakon drama Oh My English! itu membintangi dua filem aksi yang bakal dilancarkan pada Ogos dan November nanti.
Selain itu, netizen masih lagi memanggil dirinya sebagai ‘Mawi’ kerana terkesan dengan filem kanak-kanaknya dan Aedy meluahkan rasa terharu kerana masih ramai lagi belum melupakannya.
“Saya rasa perkara tu sangat bagus juga sebab ramai orang ingat tentang itu sampai sekarang. Filem tu bagi impak kepada remaja dan kanak-kanak waktu itu.
“Saya rasa kalau saya dibesarkan pada zaman itu pun, saya akan rasa itu adalah filem yang paling terbaik untuk kanak-kanak sebab masa tu tak ada filem untuk kanak-kanak melainkan Tentang Bulan dan Mohsin. Syafie Naswip tu pun sampai sekarang saya panggil Mohsin,” selorohnya.
Sokong kerjaya, bahagia bersama Amelia
Menemani kekasih hati, Amelia Henderson menjadi hos Tiktok di Festival Filem Cannes,Perancis, pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu turut teruja melihat apresiasi filem-filem yang ditayangkan di sana.

“Saya teman Amelia ke sana sebab dia dapat peluang menjadi hos Tiktok di Hollywood yang mana saya rasa itu adalah pencapaian terbesar untuk dirinya.
“Alang-alang kami suka menjelajah, jadi kami berada di Cannes selama tiga hari dan empat hari di Barcelona. Saya pertama kali menjejakkan kaki ke sana.
“Saya suka tengok aura festival di sana, mereka sangat menghargai filem-filem dari luar. Filem dari Malaysia pun ada yang dah sampai ke sana. Saya sebagai orang Malaysia, memang rasa sangat bangga,” ungkapnya.
Ditanya juga tentang netizen yang sering mendoakan hubungan mereka, pengarah pemasaran Fam’ Fries itu meluahkan rasa syukur dan akui belum ada apa-apa perancangan lagi untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Saya bersyukur ramai orang yang doakan baik-baik tentang saya dan Amelia. Teruskan berdoa.
“Setakat ni, kami belum ada rancang apa-apa lagi. Kami ikut saja aliran yang ada. Kalau ada rezeki, ada, kalau tak ada, tak apa.
“Saya akui saya selesa dan bahagia dengan Amelia,” jelasnya ketika ditemui di acara pengumuman penjenamaan semula Fam’ Fries yang diadakan di Titiwangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

