“Bila anak dah nak kahwin, baru saya terasa macam pakcik-pakcik” – Ameng Spring berbesar hati terima menantu pertama

Dari Penulis

PENYANYI Ameng Spring meluahkan rasa syukur dan lega apabila anak perempuannya, Wan Az Aleesa akan melangsungkan pernikahan bersama bakal suaminya yang disifatkan sebagai seorang lelaki terbaik dan penyayang.

Kongsi Ameng atau Wan Aminuddin Wan Ismail, bakal menantunya, Zain Azrai Abdul Aziz,27, yang berkerjaya sebagai juruterbang di awan biru itu juga datang daripada keluarga yang baik-baik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur anak saya akan berkahwin tak lama lagi. Bakal menantu saya tu pun nampak okay, cara bercakap jujur dan janggut pun lebat.

“Keluarga bakal besan pun baik-baik juga dan semuanya merupakan seorang doktor serta mempunyai enam klinik.

“Bakal menantu saya seorang juruterbang. Aleesa pula doktor veterinar dan dia akan sambung belajar di Bogor, Indonesia selama empat tahun.

“Anak saya dah lulus ujian dan akan ke sana selepas kahwin. Suaminya juga ikut tinggal di sana,” katanya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Antara Cinta dan Rindu bagaikan tidak percaya akan menerima menantu pertama dalam hidupnya kerana tidak tahu Aleesa pernah bercinta sebelum ini.

“Anak saya memang tinggal dengan emaknya. Saya pernah terserempak dia makan-makan bersama rakan-rakannya di ibu kota tapi belum pernah nampak dengan lelaki.

“Jadi, saya ingat dia tiada teman lelaki. Semasa nak bertunang pun baru dia beritahu yang dia dah nak mulakan ikatan dan berkahwin.

“Saya macam tak sangka sebab rupanya mereka pernah berada di sekolah yang sama semasa sekolah rendah tapi terpisah kerana masuk sekolah lain ikut bidang masing-masing,” ujarnya kepada URTV.

Tambahnya, bakal menantunya itu bersekolah di tempat yang sama dengan sepupu anaknya kemudian hubungan mereka bertaut kembali menerusi aplikasi Facebook.

“Mereka baru bercinta selama setahun. Anak saya sebelum ini memang tak pernah ada teman lelaki. Saya rasa sekarang saya dah tua tapi tiba-tiba tak lama lagi akan dapat cucu pula.

“Maksudnya saya akan masuk ke fasa warga emas. Perasaan saya sekarang rasa macam abang-abang sebab selagi anak saya belum kahwin, saya masih rasa saya muda lagi.

“Bila anak dah nak masuk dalam fasa berkahwin dan dapat cucu, saya pun masuk dalam kategori pakcik, saya pun baru sedar. Saya okay dan terima keadaan ini,” selorohnya ketika ditemui di sidang media Konsert Kasih Pengasih 2023 di Rumah Pengasih, di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Pada 20 Mei lalu, Aleesa mengikat tali pertunangan dengan pasangannya, Zain, di pusat peranginan milik ibunya, Datuk A.Aida yang terletak di D’Manggis Janda Baik, Pahang.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Sampai Hati itu akan menyanyikan beberapa buah lagu menerusi Konsert Kasih Pengasih 2023 bertempat di Auditorium RTM Kuantan pada 1 Julai nanti bersama Amir Ukay’s, kumpulan Iklim dan Zamani Slam.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Memori Audionauts bukan penghalang, Ryzall Noh sasar pasaran Malaysia menerusi Natijah Cinta

SELEPAS melakar portfolio ampuh selaku vokalis kumpulan popular Singapura, Audionauts, penyanyi berpengalaman Ryzall Noh kini mengorak langkah lebih berani...

More Articles Like This