PENYANYI, Reedzwann atau Muhammad Khairol Ridhuan Khairul Husni menepis dakwaan netizen yang menyatakan dia menjual kisah hidup semata-mata mahu mempromosikan lagu ciptaannya.
Ujar Reedzwann, dia berpendapat bahawa karya-karya yang dihidupkan menerusi hobinya yang suka menulis itu diluahkan dengan cara itu.
Tambahnya, lagu-lagunya sememangnya berdasarkan kisah benar dan bukan untuk menjual kisah hidup sebaliknya dia menyatakan itu adalah seni.
“Orang kata saya jual kisah hidup untuk dapat duit poket. Bagi saya, itu adalah seni yang sebenar.
“Hobi saya suka menulis, jadi buat apa tulisan tu hanya dibiarkan dekat buku saja. Lebih baik saya ubah menjadi lagu dan dikongsikan kepada semua orang.
“Saya harap pendengar dapat terima kebanyakan lagu saya yang berinspirasikan kisah realiti,” ujarnya.
Hasilkan lagu yang ada kesinambungan cerita
Penyanyi berusia 23 tahun itu lebih suka mencipta lagu yang ada kesinambungan jalan cerita dan memilih untuk membawa genre balada.
Tambahnya, dia tidak kisah untuk membawa genre berlainan jika berduet dengan penyanyi lain.
“Saya memang lebih suka menghasilkan lagu berepisod seperti Cinta Pandang Pertama, kemudian disambung dengan lagu Adakah Ini Mimpi dan episod itu diakhiri dengan Cinta Sampai Mati.
“Sebenarnya saya juga lebih selesa untuk menyanyikan lagu sendiri dengan genre balada. Saya okay saja kalau tukar genre tapi mesti berduet dengan selebriti lain,” katanya ketika ditemui di Majlis Silaturahmi Aidilfitri UtusanTV di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Penyanyi lagu Tercipta Satu Ikatan itu pernah ditawarkan untuk masuk ke program realiti Big Stage, namun dia masih lagi belum bersedia untuk ke fasa itu.
Tambahan pula, dia juga ditawarkan berlakon dalam naskhah Syaitan Munafik yang akan ditayangkan pada September depan.
Kejar cita-cita
Ditanya juga tentang hasrat bekas cef itu untuk terus berkarya dalam dunia seni, dia berharap untuk pendengar dapat menerima karya yang dihasilkan.
Menurutnya, dia suka mencabar dirinya untuk melakukan perkara yang baru iaitu dengan punyai dua impian, komposer atau pengarah.
“Saya harap orang ramai boleh terima lagu-lagu saya sebab saya dah buat kelainan iaitu satu cerita, ada tiga episod dan lagu.
“Saya sebenarnya ada dua cita-cita, iaitu komposer atau pengarah. Saya nak kejar sasaran saya dalam industri seni sebab memang minat saya ke arah itu. Saya adalah orang yang suka mengatur pergerakan hidup,” katanya.

