Digelar sebagai ‘Istana Alam Seni’, sebuah gua di bukit Guanming di China terlihat bagaikan istana lama bawah tanah. Pantulan cahaya lampu daripada batu-batu stalaktit dan stalagmit di dalam gua ini menjadikan ia bagaikan sebuah gua pelangi.
Gua bawah tanah dikenali sebagai Reed Flute Cave ini berada lima kilometer dari pusat utara kota Guilin dan tidak pernah putus menerima kunjungan pelancong. Ia turut disenaraikan antara gua yang menakjubkan di dunia oleh Discovery Channel China.
Apa yang menarik, rona yang menutupi kawasan gua ini bermacam-macam warnanya. Ia sangat mirip dengan warna-warna pelangi. Antaranya merah, jingga, hijau, biru, indigo dan ungu.
Reed Flute Cave dianggap sebagai sebuah galeri lukisan semula jadi terhasil daripada gua batu kapur. Walau bagaimanapun, fenomena warna-warna pelangi di dalam gua ini bukanlah terjadi secara semula jadi. Ia sebenarnya terhasil daripada pantulan cahaya lampu yang dipasang di dalam gua berkenaan.

Di Guilin, ia tersenarai antara tempat pelancongan menarik di bandar tersebut. Pembentukan batu-batu stalaktit dan stalagmit di dalam gua ini memantulkan cahaya pelangi yang berwarna-warni. Cahaya yang berwarna-warni itu menjadi kegemaran bagi pelancong-pelancong untuk bergambar.
Nama gua ini pula diambil sempena nama buluh-buluh liar yang tumbuh di luar gua ini yang boleh dibuat menjadi seruling yang merdu. Hampir kebanyakan alat muzik seruling yang terdapat China diperbuat daripada buluh yang terdapat di sekitar gua pelangi ini.
Lebih istimewa, di dalam gua ini terkandung lebih 70 inskripsi yang ditulis dengan dakwat ketika zaman Dinasti Tang. Sepanjang 240 meter jarak gua ini atau lebih kurang satu jam berjalan kaki, pelbagai tulisan boleh dilihat pada dinding gua berkenaan.
Setakat ini, tiada siapa mengetahui siapakah penulis asal tulisan ini. Walau bagaimanapun, ia dipercayai wujud sebelum gua ini dibuka kepada pelancong luar pada tahun 1962. Â

Sejak dibuka untuk pengunjung, gua ini telah dikunjungi oleh berjuta-juta pelancong luar negara dan tempatan. Sepanjang tahun, gua ini sentiasa lembap dan udara di dalamnya sejuk. Kebanyakan pelancong disarankan memakai pakaian kalis air kerana titisan air dari bahagian atas gua boleh menyebabkan pakaian menjadi basah.
Dianggarkan beribu batang lampu diletakkan di dalam gua ini bagi mendapatkan pantulan cahaya yang sempurna dan cantik.



______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

