Etnik Banjar berasal dari Kalimantan, Indonesia. Penghijrahan mereka ke Tanah Melayu sekitar pertengahan abad ke-19 dan penempatan awal masyarakat Banjar ini bermula di Batu Pahat, Johor. Ketika itu mereka berdagang dan berniaga kelapa kering. Hari ini Etnik Banjar yang merupakan rumpun masyarakat Melayu, ramai menetap di daerah Sungai Besar, Tanjung Karang, Selangor, Bagan Datoh, Kerian Perak, Kedah dan Sabah.
Masakan Banjar tidak jauh beza dengan masakan Melayu tempatan. Mereka telah membawa bersama warisan masakan tradisional Banjar dari Banua Banjar atau Kalimantan Selatan. Jom kita kenali masakan istimewa masyarakat Banjar.

Kalakatar
BAHAN
1 ½ cawan air kelapa muda
1 cawan isi kelapa muda -hiris halus
½ cawan gula
1 cawan tepung beras
4 sudu besar tepung gandum
2 biji telur
1 biji kelapa – diambil pati santan
Sedikit garam
CARA PENYEDIAAN
- Tepung, air kelapa, gula dan telur dikacau sehingga sebati dan ditapis. Kemudian masukkan separuh isi kelapa yang telah dihiris halus bersama garam.
- Masak ke semua adunan ini, kacau perlahan-lahan di atas dapur. Sediakan dulang pembakar yang disapu sedikit minyak dan dilapikkan dengan daun pisang.
- Tuangkan adunan ke dalam dulang pembakar. Selepas separuh masak, baru taburkan separuh lagi isi kelapa pada permukaan adunan dan terus dibakar sehingga 30-40 minit pada suhu 180 °C sehingga masak.

SAMBAL TA’UN
BAHAN A
300 gm lengkuas muda
50 gm halia muda
4 labu bawang besar
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2 sudu besar udang kering
Belacan secukup rasa
BAHAN B
500 gm api (separuh dikisar dan separuh ditumbuk separuh lumat)
1 liter santan
1 kg kerang
3 keping asam gelugur
½ cawan minyak masak
Sedikit garam dan gula
CARA PENYEDIAAN
- Kisar semua bahan A dan tumiskan sehingga naik bau.
- Kemudian masukkan cili api serta asam keping dan masak sehingga mendidih.
- Masukkan santan dan masak lagi sehingga pecah minyak.
- Akhir sekali, masukkan kerang dan sebatikan rasa. Gaul rata sebelum api ditutup.

LAMPAM SASANGAN MANDAI
BAHAN
1 ekor ikan lampam.
300 gm jeruk kulit cempedak / nangka ( direbus dahulu)
400 ml santan pekat
200 gm cili padi
3 ulas bawang putih – kisar
5 ulas bawang merah -kisar
200 gram kunyit hidup -kisar
Garam dan gula
CARA PENYEDIAAN
- Tumis bahan-bahan yang dikisar sehingga naik bau dan masukkan jeruk kulit cempedak.
- Apabila jeruk kulit cempedak sudah lembut masukkan santan dan ikan.
- Masukkan garam secukup rasa dan biarkan mendidih. Sedia dihidangkan.

GULAI BAUNG HAMPALAM ANUM
BAHAN
3 kg ikan baung– siang dan bersihkan
½ kg mangga muda (hampalam anum)
400 gm rempah kari ikan
6 ulas bawang merah -kisar
4 ulas bawang putih -kisar
10 gm halba campur -kisar
5 tangkai cili merah -kisar
5 tangkai cili hijau -kisar
5 tangkai cili api merah dan hijau -kisar
1 cawan air
Satu cawan minyak masak
CARA PENYEDIAAN
- Panaskan minyak dan tumis bahan yang telah dikisar.
- Kemudian masukkan rempah kari ikan dan tumis sehingga naik bau.
- Tuangkan sedikit air, setelah mendidih. Masukkan ikan baung dan mangga muda.

CACAPAN HAMPALAM ANUM
BAHAN
3 biji mangga muda – cincang halus panjang
5 ulas bawang merah – potong dadu
10 tangkai cili padi
2 biji tomato – potong dadu
1 cawan air asam jawa
Air perapan ikan wadi secukupnya
Garam
CARA PENYEDIAAN
- Sediakan semangkuk air asam jawa dan campurkan sedikit air perapan ikan wadi (sepat atau pepuyu).
- Campurkan bawang merah, cili padi, mangga muda dan buah tomato. Gaulkan. Tambahkan garam secukup rasa dan sedia dihidangkan

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

