SEORANG pelajar Universiti Tun Hussein Onn, kampus cawangan Pagoh maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 125.1 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Yong Peng, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 8 malam.
Beliau berkata, kemalangan pada pukul 7 malam itu melibatkan sebuah Perodua Bezza yang dinaiki oleh empat pelajar UTHM berusia 20 dan 21 tahun, sebuah treler dan Proton Waja.
“Treler dipandu lelaki berusia 28 tahun manakala Waja oleh warga emas berusia 65 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, kesemua kenderaan dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Bezza melanggar bahagian belakang treler di sebelah kanan sebelum terbabas di penghadang jalan.
“Kemudian pemandu Waja yang tidak sempat membrek telah melanggarnya,” katanya.
Jelasnya, akibat kemalangan itu, penumpang hadapan Bezza berusia 20 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.
Sementara pemandu Bezza mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Muar bagi rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, terdapat empat orang mangsa berada di dalam Bezza.
Mereka terdiri daripada tiga orang lelaki dan seorang wanita.
Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Muar dengan menaiki jentera Unit EMRS.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

