SETIAUSAHA Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan bahawa beliau merupakan calon Menteri Besar Terengganu sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) negeri itu.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyatakan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam PRN Terengganu.
Mohd Khairuddin berkata, tumpuan utama dirinya adalah untuk membantu calon UMNO dan BN untuk menang.
“Bagi diri saya, saya menyatakan tidak bertanding dalam PRN terdekat ini, insya-Allah.
“Walaupun ada disebarkan berita dalam akhbar tentang bakal Menteri Besar dan sebagainya, perkara itu tidak berbangkit kerana saya belum tentu lagi bertanding dan saya tidak berhasrat bertanding dalam PRN.
“Sebaliknya, saya kekal membantu UMNO untuk menang di Terengganu serta negeri-negeri lain.
“Ini adalah pilihan politik (tidak bertanding) dan biasa bagi orang politik, mahu partinya menang dalam pilihan raya,” katanya dalam klip video di TikTok.
Baca artikel berkaitan: PN optimis menjelang PRN di Selangor
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), minggu depan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Mohd Khairuddin yang ketika itu bertanding atas tiket Pas memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus dengan mendapat majoriti 8,447 undi menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.
Bagaimanapun, setelah mengumumkan keluar daripada Pas, Khairuddin yang kembali bertanding atas tiket UMNO pada PRU15 lalu gagal mengekalkan kerusi yang disandang setelah tewas kepada calon Pas, Datuk Dr Alias Razak dengan majoriti 29,765 undi.
Sebelum ini, nama Mohd Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu disebut-sebut akan bertanding mewakili BN pada PRN Terengganu dan menjadi calon Menteri Besar.
Dua lagi nama bekas jemaah menteri yang dikatakan akan bertanding ialah bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Parlimen Kemaman) dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (Parlimen Hulu Terengganu).
Namun, setakat ini, Ahmad Shabery telah mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam PRN kali ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

